KOTA BELUD: Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN) mendesak campur tangan segera ADUN Kadamaian berhubung aktiviti melombong dan mengorek batu pasir di Sungai Kadamaian yang dipercayai tidak .mendapat kelulusan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),
Presiden PERPADUAN, Jack Giau berkata aktiviti itu dilaporkan berlaku di beberapa kawasan, termasuk tepi sungai Kampung Piasau Pirasan, Kampung Pundau dan Kampung Rangalau.
Beliau berkata sebarang aktiviti korekan di sungai merupakan satu pelanggaran serius undang-undang sekiranya dijalankan tanpa kelulusan bertulis Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) serta kelulusan pihak berkuasa alam sekitar negeri.
Menurut prosedur operasi standard (SOP) JPS, katanya tata cara dan kaedah kerja mengorek atau melombong pasir sungai hanya boleh dilaksanakan sekiranya terdapat permohonan rasmi serta kelulusan bertulis daripada pihak berwajib.
“Sebarang aktiviti yang dijalankan tanpa mematuhi SOP di mana JPS mengariskan had 100 kaki dari tebing sungai baru boleh diusik sungguh pun kawasan itu bergeran dan perlu ada TOL yang diluluskan bebrerapa agensi kerajaan yang berkaitan.
“Jika tidak ada kelulusan ini adalah menyalahi peraturan dan boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jack Giau berkat isu itu bukan baharu dan telah dibantah secara rasmi sejak tahun lalu susulan tragedi tiga mangsa lemas di kawasan sungai yang telah dikorek.
“Belum pun reda kesedihan keluarga mangsa yang kehilangan ahli keluarga akibat sungai yang dirosakkan, aktiviti berbahaya ini dimulakan semula. Ini satu bentuk keangkuhan dan kezaliman terhadap keselamatan rakyat,” tegas beliau.
Menurut beliau, pengesahan daripada pihak JPS sendiri menyatakan bahawa tiada sebarang permohonan baharu diterima daripada kontraktor terlibat dan tiada kelulusan dberikan selepas Disember 2023.
“Sebab itu, PERPADUAN secara rasmi mendesak campur tangan segera ADUN Kadamaian yang juga merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah serta Menteri Kabinet Negeri untuk menggunakan kuasa dan kedudukan beliau menghentikan aktiviti melombong pasir ini tanpa sebarang kompromi,” katanya.
“Penduduk kampung telah lama menyuarakan kebimbangan melalui laporan polis, aduan rasmi dan pendedahan media. Namun aktiviti ini kembali berulang pada awal tahun 2026.
“Keadaan paling kritikal dilaporkan di Kampung Rangalau apabila ekosistem sungai rosak teruk, empangan Rangalau mengalami kerosakan serius dan tanah penduduk runtuh akibat hakisan,” katanya.
