TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menyantuni rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap sempena sambutan Krismas pada 25 Disember di sini.
Beliau yang turut ditemani isterinya, Datin Zainatunnisa Ibrahim, mengunjungi beberapa kediaman termasuk rumah Ketua Daerah, OKK Tusib Tulas bersama beberapa pemimpin tempatan lain.
Ketika ditemui media, Jamawi berkata, amalan kunjung-mengunjung sempena musim perayaan wajar diteruskan kerana ia mampu mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak seluruh rakyat DUN Melalap untuk menghadiri Rumah Terbuka Krismas DUN Melalap yang akan diadakan pada 28 Disember ini bermula jam 11.30 pagi di Dewan Datuk Sanggau Jalang.
