TAWAU : Usaha menaik taraf aset keselamatan di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) perlu diberi keutamaan khususnya di lokasi strategik seperti Road Check Point (RCP) Sapi Nangoh dan Kalabakan yang menjadi laluan utama ribuan kenderaan setiap hari.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, peruntukan sekitar RM21.2 bilion yang diterima Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi tahun 2026 wajar dimanfaatkan secara berfokus bagi memperkukuh keupayaan aset dan fasiliti semua agensi keselamatan di bawah kementerian itu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta ESSCOM.
Menurut Mohd. Zaki, RCP Sapi Nangoh khususnya memerlukan perhatian segera berikutan laporan dan maklumat awam mengenai kegiatan pembolosan pendatang tanpa izin (PTI) yang didakwa menggunakan taktik terancang melibatkan kenderaan bas ekspres.
“Maklumat yang diterima umum menunjukkan ada pihak menggunakan helah tertentu untuk memperdayakan anggota keselamatan bertugas. Antara ‘Modus Operandi’ mereka ialah PTI diarahkan turun awal sebelum tiba di RCP, disembunyikan dalam ruang bawah bas serta dilindungi dengan bagasi dan kemudian dinaikkan semula selepas melepasi pemeriksaan.
“Kita percaya ia didalangi oleh pemandu dan konduktor bas ekspres yang berkemungkinan mendapat bayaran tertentu untuk berbuat demikian. Bayangkan berapa ramai PTI yang telah serta boleh ‘terlepas’ jika sebuah bas ekspres hanya membawa tiga atau empat orang PTI dalam sekali perjalanan? Tidak lupa, berapa pula bayaran yang mereka perolehi dengan kegiatan jenayah tersebut?”
Beliau berkata, anggota di RCP telah menjalankan tugas dengan baik tetapi situasi di RCP menuntut penggunaan peralatan bantuan pemeriksaan yang lebih canggih dan berteknologi tinggi bagi menutup sebarang ruang kelemahan sekali gus mengelakkan risiko pembolosan yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
“Sekurang-kurangnya, RCP Sapi Nangoh perlu dibekalkan dengan mesin pengesan suhu atau peralatan setara seperti mesin pengimbas yang bukan hanya mampu mengesan kehadiran manusia dalam ‘compartment’ kenderaan khususnya bas ekspres secara pantas dan tepat malah juga barang larangan yang lain,” katanya.
Mohd. Zaki menegaskan, pelaburan dalam teknologi keselamatan bukan bertujuan menafikan kecekapan anggota di lapangan sebaliknya berfungsi sebagai sokongan penting bagi meningkatkan keberkesanan operasi terutama di laluan berisiko tinggi. Selain Sapi Nangoh, beliau turut mencadangkan agar RCP Kalabakan diberi keutamaan setara memandangkan lokasi itu juga menjadi nadi pergerakan keluar masuk kenderaan dari kawasan sempadan.
“Keselamatan Sabah, khususnya di kawasan ESSZONE, memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan aset fizikal, teknologi dan kebajikan anggota. Peruntukan besar yang diumumkan perlu diterjemahkan kepada impak sebenar di lapangan,” katanya.
