TAWAU: Kampung Inderasabah, kini menikmati limpahan pembangunan bernilai RM1 juta selepas diumumkan sebagai Kampung Angkat Madani ESSCOM, melibatkan pelaksanaan sembilan projek infrastruktur serta pelbagai program keusahawanan dan pembaikpulihan kemudahan awam yang siap dalam tempoh kurang setahun.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, antara projek yang telah dilaksanakan termasuk pembaikpulihan sekolah, masjid, pembinaan serta baik pulih jambatan dan laluan pejalan kaki, pemasangan lampu solar serta pembinaan gerbang kampung.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan memberi impak besar kepada kesejahteraan penduduk setempat, khususnya dalam meningkatkan kemudahan asas dan kualiti hidup komuniti kampung.
“Alhamdulillah, apabila kampung ini menjadi Kampung Angkat Madani, banyak projek yang sebelum ini sukar diluluskan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah, sekali gus memberi impak yang belum pernah berlaku di bawah kerajaan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Siap Kampung Angkat Madani dan Program Back To School ESSCOM di Sekolah Kebangsaan Inderasabah, di sini.
Datuk Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas menambah, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi perhatian khusus kepada kampung-kampung terpilih menerusi inisiatif Kampung Angkat Madani, termasuk Kampung Inderasabah yang menerima manfaat pembangunan menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) atas kerjasama berterusan sejak penubuhannya pada 2013, yang disifatkan banyak membantu meningkatkan keyakinan keselamatan serta kesejahteraan penduduk di sepanjang kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
Selepas lebih 12 tahun ESSCOM ditubuhkan, rakyat di Pantai Timur Sabah dilaporkan semakin yakin dengan tahap keselamatan, bukan hanya bergantung sepenuhnya kepada anggota keselamatan semata-mata.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata, peranan masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan kawasan sentiasa terpelihara, memandangkan kawasan pengawasan yang luas dan mencabar.
“Secara umumnya, selepas 12 tahun ini, rakyat sedar bahawa aspek keselamatan bukan hanya terletak di bahu anggota keselamatan, sebaliknya memerlukan peranan bersama masyarakat. Tahun depan, kita merancang untuk memperluaskan lagi program libat urus di setiap kawasan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pemantauan berterusan serta program penglibatan komuniti merupakan fokus utama ESSCOM, termasuk menerusi pelaksanaan projek Kampung Angkat Madani yang berjaya memperkukuh hubungan dan meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan penduduk setempat.
