MAFFI galak rakyat bertani

TENOM, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar berkata, kementeriannya akan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan keterlibatan penduduk, terutamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, dalam sektor pertanian demi merealisasikan keterjaminan makanan.

Beliau berkata, slogan “Berbudi Pada Tanah” digunakan sebagai usaha menggalakkan masyarakat untuk bertani, berkebun, menternak serta melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan pertanian.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Apresiasi Murid Sekolah Kebangsaan Batu Tiningkang 2025 di sini hari ini. Teks ucapan dibacakan oleh
Setiausaha Sulit kepada Jamawi, Dairick Frannandez Daniel.

Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta seluruh warga Sekolah Kebangsaan Batu Tiningkang atas usaha berterusan dalam memartabatkan kecemerlangan murid.

Beliau berkata, Majlis Apresiasi Murid merupakan acara tahunan sekolah yang bertujuan meraikan pencapaian murid dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah, selain memberikan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada kecemerlangan sekolah.

Menurutnya, majlis itu turut berperanan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat.

Beliau berharap pengiktirafan yang diberikan kepada murid dapat menjadi dorongan untuk mereka terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga atas komitmen serta sokongan berterusan yang diberikan kepada pihak sekolah.

Jamawi menyatakan harapan agar Sekolah Kebangsaan Batu Tiningkang akan terus maju dan cemerlang, selain lebih ramai murid menerima anugerah pada masa akan datang.

Beliau mengucapkan tahniah kepada semua murid yang menerima anugerah, sambil menyeru ibu bapa dan pihak sekolah agar terus mengekalkan keharmonian serta kerjasama demi pencapaian cemerlang pada masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk atas sokongan yang diberikan kepadanya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 lalu, sambil menegaskan komitmen untuk memberikan perkhidmatan terbaik sebagai menteri selaras dengan aspirasi dan hala tuju Kerajaan Negeri.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles