Pemaba mahu bina akademi mini TVET di Penampang

KOTA KINABALU: Persatuan Majikan Buruh Asing Malaysia (Pemaba) menyahut seruan Kerajaan untuk menceburi sektor Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha mengeluarkan ramai pekerja berkemahiran di Sabah.

Presiden Pemaba Yacob Gabriel Samson berkata, mereka mengambil serius seruan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk memilih TVET sebagai bidang yang akan membuka peluang kepada penduduk negeri ini untuk maju dalam kerjaya mereka.

“Kami sebagai majikan mahu membantu membekalkan pekerja berkualiti dan berkemahiran dalam pelbagai industri supaya dapat membantu membangun ekonomi dan sosial negeri Sabah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sehubungan itu katanya, Pemaba merancang untuk mewujudkan Akademi Mini TVET Asean di Penampang dengan fokus untuk menaik taraf kemahiran kumpulan sasaran termasuk wanita, belia, komuniti terpinggir dan kategori B40.

Katanya, Pemaba sudah mengenal pasti tempat yang sesuai membuka akademi mini itu di Kolopis Penampang.

“Akademi ini akan menyediakan latihan teknikal dan vokasional TVET kepada komuniti luar bandar di Sabah. Sebagai permulaan kita sediakan latihan kemahiran memasak, pertukangan tangan, kraftangan, automatif dan kemahiran-kemahiran lain yang diperlukan industri.

“Kami sudah ada rangka kerja termasuk tenaga pengajar untuk melaksanakan pelan ini,” katanya menambah apabila tamat latihan, pelajar akan terus diserap dalam pasaran tenaga kerja dalam dan luar negara.

Yacob yang juga berasal dari Kg Kolopis Penampang berkata, akademi ini menyediakan laluan kerjaya yang berstruktur, sah dan berimpak di mana Agenda TVET Negara 2030 memastikan Sabah bersedia untuk memenuhi permintaan tenaga kerja mahir yang semakin meningkat.

Katanya, hasil pertemuan awal dengan pihak IDS melalui ketuanya, Datuk Dr Ramzah Dambul pada Jun lalu, mereka juga melihat pentingnya menyelaraskan pembangunan modal insan bagi warga Sabah dan Semenanjung Malaysia.

“Pemaba akan bekerjasama dengan persatuan dan NGO lain di semenanjung khasnya dengan Persatuan Perdasama yang mempunyai kira-kira 5,000 usahawan dan majikan. Mandat Perdana Menteri untuk memperkasa Projek Belia Madani kepada Perdasama akan diselaraskan dengan kita di Sabah.

“Satu lagi industri yang memerlukan pekerja sekarang adalah penjagaan warga emas. Selaras dengan Dasar Penuaan Negara 2030, Pemaba melihat peluang yang belum ramai menceburi kemahiran dalam penjagaan warga emas sebagai tidak patut dilepaskan,” katanya.

Menurut Yacob, akademi ini merancang untuk memberi kemahiran penjagaan ini kepada sesiapa sahaja tidak kira lelaki atau perempuan untuk mempelajari cara-cara tepat menjaga warga tua.

Kata Yacob, Akademi Mini TVET ini bakal menjadi pemangkin pembangunan modal insan di Sabah, selaras dengan aspirasi negara 2030. Penubuhannya adalah mesej yang kuat iaitu Sabah bukan sekadar menyertai agenda kemahiran serantau tetapi menerajuinya.

“Sebagai anak Penampang, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan Sabah memegang kedudukan strategik dalam pembangunan modal insan.

“Kami mahu rakyat Sabah mempunyai peluang kerjaya yang sah, stabil dan bermakna di Malaysia dan di seluruh rantau Asean.

“Inisiatif ini adalah komitmen Pemaba untuk membuka akses latihan kepada kumpulan yang kurang mendapat perkhidmatan, terutamanya wanita, belia, keluarga B40 dan komuniti luar bandar,” jelasnya.

Oleh itu katanya, Pemaba mahu Sabah memperkukuhkan peranannya di peringkat negeri, kebangsaan dan serantau dengan menerajui Tenaga Kerja ASEAN dengan kepimpinan daripada anak jati Sabah.

Pemaba yakin dapat menyokong pembangunan ekonomi tempatan dengan graduan menyumbang kepada sektor perkhidmatan, kesihatan, logistik dan perindustrian strategik di Sabah selaras dengan agenda BIMP-EAGA dan Asean.

Beliau menekankan bahawa mobiliti tenaga kerja mahir bukan sahaja merapatkan jurang kemahiran dan pembangunan tetapi dapat membantu integrasi ekonomi Sabah-Kalimantan-Brunei-Filipina.

“Sabah akan menerajui penubuhan akademi ini di mana pada 16 November lalu, Malaysia menyertai sidang perniagaan di antara Dumai Indonesia-Melaka yang membuka peluang untuk kerjasama serantau.

“Dewan Perniagaan Permuafakatan Usahasama Malaysia (DPPUM) dan Pemaba menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian (Kadin) di Dumai Indonesia, bertujuan memperkukuh ekonomi dan hubungan perdagangan dua negara,” katanya.

MoU itu ditandangani oleh Yacob dan Timbalan Presiden DPPUM. Yacob merupakan pemacu di sebalik agenda pembangunan tenaga kerja mahir di peringkat kebangsaan dan ASEAN.

Melalui Pemaba Sabah dijangka mendapat manfaat yang ketara melalui aliran pekerja mahir, peluang ekonomi baharu dan program latihan TVET termasuk kemahiran dalam penjagaan warga emas.

Sabah akan menjadi hab kemahiran serantau yang menyokong integrasi ekonomi BIMP-EAGA, di samping membekalkan pekerja mahir kepada industri utama termasuk perkhidmatan, penjagaan kesihatan, logistik, pelancongan dan sektor strategik.

Yacob turut berpeluang bertemu dan berbincang dengan bekas Konsul Jeneral Konsulat Indonesia di Kota Kinabalu Sabah, Mohamad Rizali Noor, mengenai perkara berkaitan pekerja asing Indonesia di Sabah.

Yacob melahirkan harapan agar “Program Jiran Istimewa” (JIWA) dapat diwujudkan dan diperluaskan ke Sabah, sama seperti kejayaan pelaksanaannya di Melaka dan Negeri Sembilan, khususnya dalam sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Inisiatif ini selaras dengan rangka kerja BIMP-EAGA ASEAN, terutamanya dalam memperkukuh kerjasama mengenai keperluan buruh dalam industri pelancongan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles