KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal menentukan kedudukan kerusi DUN Lamaq berikutan pemergian Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum negeri 29 November lepas.
Bekas Wakil Rakyat Datuk James Ligunjang berkata ini kerana Bung belum lagi mengangkat sumpah sebagai ADUN yang sah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.
“Dalam keadaan begini, Speaker tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan
kekosongan kerusi tersebut.
“Ini bermakna ia berada di bidang kuasa SPR, dan SPR lah yang akan menentukan kedudukan kerusi Lamaq, sama ada mengadakan semula pilihan kecil atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengenai kedudukan Bung sebagai anggota Parlimen Kinabatangan, Ligunjang berkata tempoh kerajaan Madani sekarang akan berakhir pada 2027.
Pilihan raya umum Malaysia seterusnya mesti diadakan selewat-lewatnya pada atau sebelum 20 November 2027.
Lingunjang berkata jika tempoh itu kurang dua tahun maka mengikut peruntukan undang-undang sedia, pilihan raya kecil Parlimen tidak perlu diadakan.
Bagaimanapun, dalam hal ini, beliau berkata Speaker Dewan Rakyat yang menentukan kedudukan kerusi Kinabatangan.
Dalam pilihan raya umum Sabah baru-baru ini, Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalma saingan enam penjuru.
Awal hari ini, Bung meninggal dunia pada usia 66 tahun, kurang seminggu selepas dipilih sebagai Adun Lamag untuk penggal kedua.
