KOTA KINABALU: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid Jordan Jude Ellron mencipta sejarah tersendiri sebagai antara wakil rakyat termuda yang dilantik sebagai Pembantu Menteri dalam barisan kabinet negeri Sabah yang baharu.
Jordan, 28, berkelulusan Ijazah Sarjana Perniagaan merupakan antara 17 ADUN
mengangkat sumpah sebagai pembantu menteri Sabah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Selasa.
Majlis penuh istiadat itu menyaksikan pelantikan Pembantu-Pembantu Menteri baharu terdiri daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan ADUN Bebas.
*Saya amat terharu dengan pelantikan sebagai Pembantu Menteri.
“Ini adalah satu tanggungjawab yang besar dan saya berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah atas kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada saya,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Sejurus selepas diumumkan sebagai pemenang PRN bagi kawasan DUN Tulid, Jordan mula memperlihatkan ketokohan dan kewibawaannya dengan terus menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pengundi, jentera, wiramuda dan wanita atas mandat yang diberikan kepadanya.
“Bergelar YB ini bukan sesuatu harus kita berlakuan ego. Bangga tetapi permulaan untuk melaksanajan tugas dan membawa pembangunan kepada N44 Tulid.
“Yang penting juga hubungan wakil rakyat dan penduduk kampung haruslah dirapatkan,” kata Jordan yang peramah dan mudah didampingi rakyat.
Dalam PRN baru-baru ini, Jordan yang bertanding atas tiket bebas meraih kemenangan selepas menewaskan 13 pencabarnya.
Dalam perebutan kerusi yang mempunyai 16,551 pemilih berdaftar, Jordan yang menggunakan simbol manggis, meraih 3,545 undi, sekali gus mencatat majoriti 1,195 undi, menjadikan beliau antara calon Bebas paling menonjol pada pilihan raya kali ini.
