Parti PERPADUAN zahir ucapan penghargaan atas kemenangan GRS, Warisan dan parti tempatan lain dalam PRN

KOTA KINABALU: Gundohing Jack Giau, Presiden parti PERPADUAN menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan atas kemenangan GRS, WARISAN dan parti-parti tempatan lain pada pilihan raya negeri baru-baru ini.

Katanya rakyat telah memberikan keyakinan dan mandat baharu yang membolehkan terbentuknya kerjasama kukuh sehingga membawa kepada keputusan besar: GRS memenangi 29 kerusi manakala WARISAN memperoleh 25 kerusi.

Menurutnya kejayaan itu membuktikan kesungguhan rakyat Sabah untuk mengangkat martabat negeri melalui gabungan yang stabil serta berpaksikan kepentingan rakyat Sabah.

Dalam usaha memperkukuh kestabilan politik negeri, PERPADUAN menyeru agar semua parti tempatan Sabah mengetepikan perbezaan dan bersatu sebagai satu suara tunggal Sabah.

Jack berkata parti-parti lokal mesti menjadi tunjang kepada kerajaan negeri supaya dasar, keputusan dan keutamaan benar-benar mencerminkan aspirasi rakyat Sabah.

“PERPADUAN juga berpendirian tegas bahawa pelantikan Kabinet Sabah adalah hak anak negeri, dan tidak seharusnya dipengaruhi oleh mana-mana parti politik dari Malaya. 

“Sabah mempunyai identiti politiknya tersendiri, dan masa depan negeri ini harus ditentukan oleh rakyat Sabah melalui parti-parti tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jack berkata parti itu menghormati rakan-rakan politik di peringkat Persekutuan, namun pembentukan kepimpinan Sabah mesti kekal sebagai urusan Sabah sepenuhnya.

“Pandangan rakyat kini jelas bahawa pilihan raya sudah tamat, dan yang mereka mahukan ialah kestabilan. Dengan keputusan 29 kerusi GRS dan 25 kerusi WARISAN, gabungan ini berpotensi membentuk kerajaan yang kuat dengan jumlah 54 kerusi, iaitu melebihi dua pertiga majoriti.

“Sebagai seorang ahli politik, saya berpendapat tibalah masanya semua pemimpin Sabah duduk semeja untuk memikirkan hala tuju negeri ke arah masa depan yang lebih baik. Harapan saya ialah agar semua parti tempatan yang menang dapat bersatu demi kepentingan rakyat,” katanya.

Jack berkata rakyat Sabah ingin melihat parti-parti tempatan di negeri ini bergabung bagi memastikan kestabilan politik yang selari dengan aspirasi majoriti yang telah jelas menolak campur tangan parti luar pada pilihan raya kali ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles