Agenda Sabah First akan terus diperjuangkan dalam Kerajaan Sabah: Ewon

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan agenda Sabah First dalam Kabinet Kerajaan Sabah yang baharu.

Ewon, yang memegang portfolio Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, berkata pembangunan sektor keusahawanan akan menjadi antara fokus utamanya dalam memastikan ekonomi Sabah terus berkembang dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Keusahawanan merupakan penggerak penting kepada pembangunan ekonomi negeri Sabah. Saya akan sedaya upaya menggalas tanggungjawab yang diberikan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Jemaah Menteri Baharu Sabah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, hari ini.

Ewon menegaskan, sebagai Presiden UPKO, agenda Sabah First akan kekal menjadi keutamaan parti itu dalam kerajaan, khususnya berkaitan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan mengenai tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah.

“Sebagai Presiden UPKO, saya akan terus membawa agenda Sabah First dalam Kabinet Kerajaan Sabah supaya rundingan dengan Kerajaan Persekutuan mengenai tuntutan 40 peratus hasil Sabah dan perkara-perkara lain menjadi keutamaan kerajaan yang dibentuk hari ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, atas keyakinan terhadap UPKO sama-sama menerajui barisan Kabinet negeri.

Pada pilihan raya baru-baru ini, Ewon berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian dengan 11,977 undi, menewaskan tujuh calon lain dengan majoriti 9,672 undi.

Sejak 2018, beliau terus diberikan kepercayaan padu oleh rakyat Kadamaian hasil rekod kerja cemerlangnya serta perjuangannya terhadap keperluan rakyat.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada warga Kadamaian atas sokongan berterusan dan terus komited melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya.

Terdahulu itu Ewon mengangkat sumpah sebagai ahli Jemaah Menteri baharu di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman bersama ahli jemaah menteri yang lain.

Turut mengangkat sumpah ialah Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Datuk Ariffin Arif, Datuk James Ratib, Datuk Nizam Titingan, Datuk Rubin Balang, Datuk Julita Mojungki, Datuk Jafry Ariffin, dan Datuk Jamawi Jaafar.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles