Kenyataan calon GRS Tambunan Dr Victor P Paut
TAMBUNAN: Hari ini saya berdiri bukan sahaja sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tetapi sebagai anak Tambunan, sebagai seorang KDMR, sebagai seorang anak negeri yang mahu melihat tanah kita ini terus terpelihara untuk generasi yang akan datang.
Kita semua tahu… walaupun ramai tidak berani mengatakan dengan suara yang lantang… demografi Sabah sudah berubah dengan sangat ketara.
Dulu, kita berdiri dengan megah sebagai kaum terbesar di negeri ini. Hari ini, perlahan-lahan, kita tidak lagi berada di tempat yang sama.
Bukan kerana kita hilang kekuatan… tetapi kerana arus masuk pendatang tanpa izin yang diberi kerakyatan untuk melemahkan kita sejak puluhan tahun lalu telah membawa perubahan besar kepada negeri kita.
Perubahan yang kini melahirkan generasi baru yang semakin ramai, sebati di dalam masyarakat kita, semakin stabil, dan semakin mempunyai pengaruh politik.
Saudara-saudaraku, Ini bukan cerita politik. Ini bukan soal siapa lawan siapa. Ini tentang masa depan anak-anak kita. Ini tentang masa depan cucu-cucu kita.
Jika kita tidak membuka mata hari ini…Jika kita terus leka. Akan tiba satu masa nanti suara kita menjadi terlalu kecil di tanah sendiri.
Anak-anak kita akan bertanya, “Ayah, ibu… kenapa kita biarkan ini berlaku?”. Dan ketika itu… sudah terlambat.
Saya tahu ini pahit. Tetapi kebenaran yang pahit lebih baik daripada penipuan yang manis. Kita tidak boleh lagi bersembunyi di sebalik nostalgia zaman dulu. Kita mesti menerima kenyataan dan bangkit bersama.
Sebab itu saya menyeru, KDMR mesti bersatu. Dan bukan KDMR saja — semua anak negeri Sabah mesti berganding tangan di bawah satu payung yang benar-benar rumah kita sendiri – GRS.
GRS bukan parti luar.Bukan parti yang dikawal dari Semenanjung. Ini rumah kita. Ini keluarga kita. Di sinilah suara rakyat Sabah masih diberi ruang… masih didengar… masih dihormati.
Saudara-saudaraku, Jika kita mahu melindungi masa depan anak cucu kita. Jika kita mahu masa depan Tambunan dan Sabah ditentukan oleh kita sendiri. Kita hanya ada satu jalan – bersatu di bawah gabungan tempatan.
Dan untuk memastikan Sabah berdiri kukuh, kita perlukan sokongan yang kuat — majoriti 2/3. Supaya keputusan kita tidak boleh diganggu, tidak boleh dipaksa, dan tidak boleh dicampuri sesiapa dari luar.
Sepanjang kempen ini, saya tahu… banyak kata-kata yang dilontarkan. Ada cacian… ada sindiran… ada ketawa… ada fitnah. Ada yang sengaja tidak faham, dan ada juga yang mungkin benar-benar tidak mengerti.
Tetapi saudara-saudaraku, Hari ini saya berdiri di sini. Saya maafkan semuanya. Bukan kerana saya lemah, tetapi kerana saya percaya setiap orang ada sebab mereka sendiri.
Dan walaupun hati ini pedih. Saya terima semuanya sebagai pengajaran. Saya doa semoga setiap kata yang pahit itu menjadi berkat dan kekuatan bagi saya untuk terus berkhidmat bagi negeri dan rakyat yang saya cintai.
*Transformasi 100 Hari – Tambunan Maju Jaya*
Ada yang mentertawakan tujuh janji saya. Terutamanya pemasangan lampu solar, sumbangan kanopi dan kerusi, tetapi saya percaya ada rakyat dan kawasan yang betul-betul perlukan.
Mereka yang mentertawakan saya lupa – Ini bukan janji kosong. Ini tindakan segera yang boleh terus mengubah kehidupan rakyat.
*Tiga Janji Utama*
1. Pemasangan lampu solar di setiap kampung, terutama kawasan gelap.
2. Sumbangan kanopi untuk kegunaan kebajikan & majlis masyarakat.
3. Sumbangan kerusi untuk kampung, rumah ibadat & sekolah.
*Empat Janji Tambahan*
4. Bayaran daftar pesakit luar Hospital Tambunan percuma.
5. Pelancaran sistem aduan digital — suara rakyat didengar cepat & telus.
6. Pembiayaan yuran kursus pra-perkahwinan percuma kepada semua penduduk, tidak kira agama.
7. Program Tambunan Peduli — pusat bantuan segera untuk mereka yang benar-benar perlu.
Semua ini akan dilaksanakan dalam 100 hari. Bukan 10 tahun. Ini bukti bahawa apabila diberi amanah… kita terus bekerja, bukan menunggu.
*Pelan Jangka Panjang untuk Tambunan* Manifesto kita juga merangkumi pelan jangka panjang:-
– Ekonomi
– Pendidikan
– Reformasi sosial
– Kebudayaan & warisan
– Infrastruktur & teknologi
Dan sebagai bukti komitmen saya secara peribadi, 20% elaun wakil rakyat saya akan disalurkan ke Tabung Pendidikan & Kebajikan Rakyat Tambunan.
Saudara-saudaraku, Sebelum kita mengakhiri pertemuan ini. Saya minta kamu renung wajah anak-anak kamu. Bayangkan harapan mereka. Bayangkan masa depan mereka.
*Esok… 29 November 2025… adalah hari penentuan*.
Saya merayu sokongan kamu. Saya mohon mandat kamu. Undilah saya, calon nombor 4. Undilah GRS — gabungan parti-parti tempatan, rumah kita sendiri.
Saudara-saudaraku yang saya kasihi,
Sebagaimana saya sebut di awal tadi…Hari ini saya berdiri di hadapan kamu bukan hanya sebagai calon, tetapi sebagai anak Tambunan yang mahu berkhidmat sepenuh hati.
Saudara-saudaraku, mungkin peluang seperti ini datang sekali sahaja. Tetapi biarlah saya berterus terang… peluang ini bukan hanya tentang saya…Dan tiada siapa akan mempertahankan masa depan kita…Jika bukan kita sendiri.
Mari kita ambil tanggungjawab ini. Mari kita pastikan masa depan Tambunan dan Sabah tetap dalam tangan anak negeri. Rumah kita..kita jaga Undilah calon nombor 4. Undilah GRS
