Isu Petempatan Sekolah dan Komuniti vs Ladang Ternakan Ayam di Kg. Kauluan, Tamparuli – Dr. Gaim

TAMPARULI: Kg. Kauluan sebuah perkampungan yang damai di kawasan pantai barat Sabah, kini berada di persimpangan penting – antara memilih untuk terus menjadi penempatan penduduk dan kawasan pendidikan, atau menerima kewujudan sebuah kandang ternakan ayam berskala besar yang semakin mencetuskan keresahan. 

Menurut Dr. Gaim iaitu bekas Pegawai Perancang Bandar dan wilayah “Kedua-dua aktiviti ini, mengikut piawaian perancangan bandar dan wilayah serta amalan antarabangsa, tidak boleh wujud berdekatan kerana risiko kesihatan dan alam sekitar yang tinggi”

Mengikut paparan gambar udara melalui Google earth,  kawasan ternakan ayam secara besar-besaran terletak betul-betul bersempadan dengan kawasan Kampung Kauluan dan sekolah SK Kauluan. Kedudukan ini didapati memberi implikasi serius terhadap kesejahteraan komuniti dan murid sekolah. 

Isu utama yang timbul adalah pencemaran bau yang teruk, yang dikesan sendiri semasa lawatan ke kawasan tersebut baru-baru ini. 

Menurut maklumbalas rawak dari penduduk, bau busuk ini bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup tetapi juga berkemungkinan  boleh memberi kesan kesihatan jangka panjang, terutama kepada kanak-kanak dan warga emas.

Kini, komuniti Kauluan dan pihak berkuasa tempatan harus membuat keputusan kritikal — memilih antara kesejahteraan jangka panjang penduduk atau menerima risiko pencemaran alam sekitar dan kesihatan akibat operasi kandang ayam. 

Keputusan ini bukan sekadar soal ekonomi atau pelaburan, tetapi menyentuh hak asasi masyarakat kampung untuk hidup dalam persekitaran yang bersih, sihat dan selamat.

Pendek kata, penempatan manusia dan kandang ayam berskala besar tidak boleh disatukan dalam zon yang sama. Kg. Kauluan harus dipelihara sebagai kawasan kediaman yang sejahtera, bukan dikorbankan demi pembangunan yang tidak lestari.

Selain itu, insiden banjir yang sering berlaku menimbulkan kebimbangan baru. Apabila air banjir yang ada kemungkinan bercampur dengan sisa dari kandang ternakan, keadaan ini membawa potensi pencemaran bakteria dan virus ke dalam kawasan kediaman serta tanah pertanian. 

Lebih membimbangkan, Kg. Kauluan terletak berhampiran dengan kawasan sumber air utama bagi pantai barat Sabah. Pencemaran dari ladang ternakan mungkin berisiko mencemarkan sistem air ini, sekali gus memberi impak besar kepada ribuan pengguna.

Dari sudut perancangan fizikal dan piawaian perbandaran, kawasan ternakan ayam seharusnya dibina dengan jarak selamat yang ditetapkan dari penempatan manusia – bergantung kepada saiz dan kapasiti operasi ternakan. Ini bagi memastikan kawalan terhadap pencemaran, kebersihan alam sekitar, dan risiko penularan penyakit zoonotik.

Sebaliknya, Kg. Kauluan juga merupakan lokasi strategik yang sesuai untuk penempatan dan pendidikan. Sekolah dan kemudahan asas sudah pun wujud dan beroperasi, menunjukkan bahawa kawasan ini telah lama diperuntukkan untuk tujuan sosial dan pembangunan komuniti. 

Kehadiran ladang kandang ternakan ayam yang terlalu hampir boleh mencetuskan konflik guna tanah dan menjejaskan perancangan masa depan kampung.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles