Lebih 3,000 hadir majlis santai Limus Jury di Kuala Penyu

KUALA PENYU: Lebih 3,000 orang membanjiri kawasan perkarangan kediaman Datuk Limus Jury di Kampung Melampai, di sini, bagi menghadiri majlis santai bersama pengundi sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 pada Sabtu lepas.

Orang ramai mula berdatangan seawal jam 3 petang dan memenuhi puluhan khemah yang disediakan di halaman rumah.

Hujan yang turun pada awalnya tidak melemahkan semangat orang ramai untuk datang bagi mendengar ceramah oleh beberapa pemimpin politik setempat.

Sebelum acara bermula, Limus dan isteri Datin Tracy Tan beramah mesra dan bersalaman dengan orang ramai yang hadir.

Laungan `Tetap Nombor Lima’ yang merujuk kepada nombor pencalonan Limus, bergema secara berselang-seli di sepanjang acara yang berlangsung penuh semangat itu.

Limus, penyandang kerusi DUN Kuala Penyu sejak 2013, sekali lagi mempertahankannya dalam PRU17 Sabah kali ini dalam persaingan enam penjuru.

Dalam ucapannya pada majlis santai itu, Limus memulakannya dengan lima rangkap pantun, sebagai menghargai sokongan serta dukungan pengundi Kuala Penyu.

Sehubungan itu, beliau menyatakan komitmen serta ikrar untuk meneruskan agenda pembangunan yang dirancang bagi daerah Kuala Penyu dan daerah kecil Menumbok.

Ia dilakukan menerusi Pelan Strategik Pembangunan Kuala Penyu dan Menumbok, yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor, baru-baru ini.

Katanya, banyak pembangunan sudah dilaksana, manakala sebahagian lagi sedang dalam pelaksanaan bagi memajukan daerah ini, seiring slogannya `Aspirasi Menuju Transformasi’ yang diperkenalkannya.

Beliau turut menghuraikan beberapa projek pembangunan yang sudah dilaksanakan, termasuk infrastruktur, jalan raya, bekalan air, pendidikan dan pelancongan.

Limus turut mengulangi komitmennya meneruskan pemberian bantuan menerusi Yayasan Pendidikan Limus Jury (YPLJ) yang diperkenalkannya sejurus diberi mandat sebagai wakil rakyat pada tahun 2013.

Terdahulu pada sebelah pagi, Limus turut menyantuni peniaga dan pengunjung di gerai Sitompok di pekan Kuala Penyu.
Beliau bersalaman dan bertanya khabar dengan peniaga sebelum duduk bersarapan pagi bersama beberapa pengunjung, sambil menikmati pemandangan tepi laut.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles