KOTA KINABALU: Persatuan Media Tik Tokes Negeri Sabah menzahirkan sokongan padu pada semua calon-calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Negeri Sabah 29 November ini.
Timbalan presiden persatuan itu, Rusdi Alibasa berkata calon-calon BN terbabit termasuklah Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang bertanding di DUN Lamaq, bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak di DUN Usukan, Datuk Yakub Khan (DUN Karambunai) dan Azuwan Marjan, calon BN di DUN Tempasuk.
Beliau berkata sokongan anggota tiktoker itu akan diterjemahkan dalam undi kepada calon-calon BN yang bertanding di kawasan masing-masing.
“Ini adalah ikrar ahli Persatuan Media Tiktoker Sabah kerana kami mengingati jasa dan kebaikan kerajaan BN yang sentiasa berusaha meningkatkan kesejahteraan rakyat terutama penduduk luar bandar.
“Tiada kerajaan lain selain BN yang telah terbukti sentiasa membela nasib takyat tanpa mengira kaum dan agama.
“BN adalah satu-satunya kerajaan yang mengutamakan keperluan rakyat seperti yang terkandung dalam manifesto BN,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Misalnya di Usukan, Rusdi berkata DUN itu menyaksikan pertembungan sengit antara tiga tokoh tetapi ketokohan, latar belakang dan jasa Datuk Salleh yang menyerlah tidak mudah dilupakan oleh pengundi.
“Kami percaya dengan sokongan rakyat, Datuk Salleh mampu mempertahankan kerusi DUN Usukan,” katanya sambil menyatakan harapan BN akan kembali mewarnai arena politik Sabah.
