BN Komited Teruskan Agenda Pembangunan Holistik Untuk Sabah, Kata Calon BN Kemabong Rahmah Jan

TENOM: Ikrar Barisan Nasional (BN) untuk melaksanakan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1), termasuk di DUN Kemabong disifatkan realistik untuk dilaksanakan, jika gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Negeri Sabah Ke-17 nanti.

Calon BN Kemabong Datuk Rahmah Jan Sulaiman menyambut baik perincian manifesto itu selain menyifatkan sebagai holistik bagi memastikan rakyat dapat dibantu menerusi pelbagai platform.

Beliau antara lain memuji komitmen gabungan itu bagi memperhebatkan pembangunan infrastruktur, termasuk pembinaan jalan kampung di Kemabong, dan menyiapkan jalan Pan Borneo dalam tempoh lima tahun.

“BN tidak menjanjikan bulan dan bintang, selain banyak usaha di dalamnya yang digubal bagi memperkukuh sistem tadbir urus dari segi pelaksanaan pembangunan luar bandar termasuk di DUN Kemabong.

“Banyak inisiatif diperkenalkan terutama bagi golongan muda, antaranya pendidikan tinggi percuma, ‘upskilling’, (bidang) kemahiran, dana belia niaga, rumah untuk belia dan rumah transit belia dan skim sayangi wanita.

“Ini sangat penting untuk memperkukuh ekonomi dengan keutamaan diberikan melalui prospek golongan muda dari segi latihan dan pendidikan tinggi,” katanya ketika berkempen di DUN Kemabong, pada Sabtu.

Mengenai aspek kebajikan, Rahmah Jan berkata, banyak perlindungan diberikan kepada rakyat yang layak, termasuk skim perlindungan kesihatan percuma, khususnya golongan B40.

“Oleh itu, bersama kita partikan calon BN menang besar di DUN Kemabong demi masa depan rakyat yang lebih baik,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles