TENOM: Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Rahmah Jan Sulaiman bertekad untuk merealisasikan harapan rakyat untuk menjadikan Kemabong sebagai daerah penuh sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Negeri Sabah 29 November ini.
Menurutnya penaiktarafan Kemabong kepada daerah penuh merupakan antara tujuh teras manifesto bagi memperkasa agenda pembangunan di DUN itu.
“Apabila Kemabong diangkat sebagai daerah penuh, kemudahan lain seperti klinik kesihatan, pondok polis dan fasiliti sukan turut dinaiktaraf selain tadbir urus yang lebih cekap,” katanya dalam hantaran terbaru di media sosial.
Peramah dan mudah didekati, Rahmah Jan juga meletakkan sasaran untuk memastikan kemudahan jalan raya yang lebih baik.
Katanya ini termasuk menaiktaraf jalan raya kampung dan penyelenggaraan konsisten bagi memudahkan pergerakan rakyat dan aktiviti ekonomi.
Beliau berkata lima teras manifesto yang lain ialah menambahbaik kemudahan air, elektrik dan akses Internet, menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua, memperkasa ekonomi luar bandar, meneroka produk pelancongan baharu sebagai pemangkin ekonomi dan memperluaskan bantuan perumahan, terutama rumah mampu milik.
“Ini adalah antara visi dan misi saya untuk DUN Kemabong jika dipilih sebagai wakil rakyat di sini.
“Saya berikrar memastikan
pembangunan luar bandar demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Rahmah Jan menyeru rakyat Kemabong supaya bersatu dalam BN dan tidak mudah terpedaya dengan propaganda pihak lawan yang cuba memesongkan pemikiran mereka.
Menurutnya selepas seminggu berkempen, sambutan rakyat terhadap BN amat memberangsangkan dan berharap dapat menawan semula kerusi Kemabong yang dahulunya kubu kuat BN/UMNO.
