DUN Bongawan antara tumpuan Pilihan Raya Umum Negeri Sabah

BONGAWAN: Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-17 (PRU17), kerusi ‘panas’ Bongawan menjadi antara tumpuan apabila empat calon dari parti utama yang bertanding dijangka bersaing sengit.

   Antaranya, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Tan Sri Anifah Aman; calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin yang juga Ahli Parlimen Kimanis; penyandang kerusi itu dari Warisan, Dr. Daud Yusuf dan calon muka baru dari Perikatan Nasional (PN).

   Bagaimanapun, tinjauan bebas mendapati tumpuan rakyat dilihat lebih kepada Anifah susulan pengalaman dan kewibawaan dimilikinya sebagai bekas Ahli Parlimen Kimanis selama tiga penggal dan mantan Menteri Luar selama 9 tahun.

   Timbalan Ketua Bahagian PGRS Bongawan, Datuk Mursidi Sapi berkata, Dun Bongawan perlukan sosok kepimpinan seperti Anifah untuk membawa perubahan dan pembangunan kepada kawasan ini.

   Beliau percaya sekiranya Anifah diberi peluang, Bongawan bakal mengalami kemajuan drastik kerana mempunyai kelebihan dari segi hubungan baik dengan pelabur luar dan pihak berkaitan sebagai menjadi Menteri Luar sebelum ini.

   Pada masa sama katanya, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu juga adalah seorang usahawan berjaya sebelum menyertai politik dan pengalaman itu dapat digunakan untuk melahirkan ramai usahawan di Bongawan.

   “Tan Sri Anifah Aman telah membuktikan keupayaannya sebagai Ahli Parlimen Kimanis dan Menteri Luar sebelum ini, menjadikannya antara pemimpin Sabah paling berpengalaman di peringkat antarabangsa.

   “Sudah tentu beliau ada rangkaian pelabur, hubungan diplomatik dan pengalaman rundingan yang tidak ada pada mana-mana calon lain. 

   “Sekiranya Bongawan mahukan lonjakan besar, ini hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang tahu bagaimana menarik pelaburan dan mengurus pembangunan. Itu kelebihan Tan Sri Anifah,” katanya dalam satu kenyataan.(21 Nov)

   Menyentuh tentang Mohamad yang kini hampir dua penggal sebagai Ahli Parlimen Kimanis, Mursidi menyifatkan calon BN itu masih gagal menonjolkan perubahan ketara di Bongawan.

   Beliau menegaskan Mohamad masih baru dalam kepimpinan peringkat tertinggi, terutamanya selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar, sehingga menjejaskan fokus tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Kimanis.

   “Kalau selepas hampir dua penggal sebagai Ahli Parlimen Kimanis pun Bongawan masih di takuk lama, apa jaminan pembangunan akan berlaku kalau beliau pegang dua kerusi serentak (Dun Bongawan).

   “Tidak cukup masa untuk Parlimen Kimanis, tidak cukup masa untuk kementerian, bagaimana mahu tambah satu lagi kerusi? Ini bukan soal jawatan, ini soal kemampuan,” tegasnya.

   Mursidi turut mengulas prestasi calon Warisan, Dr. Daud Yusuf yang menurut beliau tidak berjaya membawa pembangunan bermakna di Bongawan walaupun telah menyandang kawasan itu selama dua penggal.

   Beliau berkata, Dr. Daud sebagaimana Mohamad juga tidak memiliki pengalaman pentadbiran atau pun hubungan luar yang boleh membantu menarik pelaburan ke kawasan ini, sekaligus menjadikan kemajuan Bongawan terus hambar.

   “Menjadi wakil rakyat pembangkang bukan alasan untuk Bongawan terus terpinggir. Dr. Daud mesti cari inisiatif, rangkaian dan dana alternatif, bukan menyerah sebelum berjuang.

   “Ramai juga wakil rakyat pembangkang lainnya yang mengambil inisiatif sendiri mencari peruntukan seperti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq bagi membantu rakyat di kawasannya,” tegasnya. 

   Manakala calon PN katanya, muka baru dan tiada rekod atau prestasi untuk dinilai ditambah lagi masih muda dan sewajarnya rakyat berhati-hati memilih calon yang belum terbukti.

   “Bongawan bukan tempat untuk eksperimen politik. Kita perlukan seseorang yang sudah teruji, bukan sekadar calon baharu tanpa rekod kerana sudah tiba masanya kawasan ini dibangunkan,” tegasnya.

   Sehubungan itu katanya, pengundi Bongawan perlu menilai sebaiknya dan mengambil kira rekod setiap calon serta keupayaan sebenar mereka untuk membawa pembangunan, bukan sekadar janji atau kedudukan politik semasa.

   Beliau berkata, Bongawan bukan boleh dipertaruhkan kepada mereka yang masih tercari-cari rentak, kurang pengalaman atau gagal menunjukkan hasil selepas diberi peluang. 

   “Kita perlukan pemimpin yang sudah terbukti, bukan yang masih belajar atau sekadar mencuba nasib, justeru, Tan Sri Anifah Aman memenuhi semua kriteria diperlukan sebagai wakil rakyat Bongawan.

   “Kami yakin beliau kini mempunyai lebih ruang dan masa untuk memberi tumpuan penuh kepada kawasan ini, sekali gus mempercepatkan pembangunan yang sekian lama tertangguh.

   “Fakta yang jelas, Anifah ada pengalaman mentadbir, kemampuan menarik pelaburan, dan kesungguhan mendidik generasi muda.Ini masa untuk memilih pemimpin yang bukan sekadar bertanding, tetapi benar-benar mampu membina masa depan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles