BONGAWAN: Pemerkasaan penggunaan Perahu Bagang (PB) di kawasan ini menjadi antara tumpuan di bawah bidang perikanan bagi manifesto calon Warisan DUN Bongawan, Dr. Daud Yusuf.
Beliau berkata, penggunaan PB lebih effisien kerana boleh dipindahkan ke sebarang lokasi berbanding bagang tradisional (BT) yang statik dan sering roboh akibat dilanda ombak besar khususnya di musim angin monsun.
“Penggunaan PB penting bagi menggantikan BT sedia ada yang jelas tidak tahan lama dan selepas beberapa tahun akan roboh akibat pukulan ombak, ditambah lagi dengan cuaca tidak menentu ketika ini.
“Ini menyebabkan kerugian kepada nelayan kita kerana terpaksa bina semula BT yang sebahagian besar kerangkanya adalah daripada batang pokok Nibung dan dikhuatiri menyebabkan kekurangan populasi tumbuhan ini.
“Penggunaan BT juga statik kerana tiang batang Nibung ditanam terus ke dasar laut, berbanding kaedah PB yang menggunakan perahu dan boleh dipindahkan serta lebih tahan lama dan selamat.
“Ini yang akan kita laksanakan bagi mengangkat ekonomi nelayan di DUN Bongawan kerana operasi BT hanya sekitar 1 batu nautika dari pesisir pantai tanpa perlu nelayan ke laut dalam sebagaimana ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.(20 Nov)
Sehubungan itu katanya, jika diberi mandat dan ditambah lagi Warisan membentuk kerajaan, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Perikanan Sabah (JPS) untuk pengeluaran lesen PB.
Pada masa sama katanya, pihaknya juga akan memastikan operasi PB turut dibenarkan berbanding larangan sedia ada dilaksanakan ketika ini oleh JPS dengan alasan mengganggu lalu lintas kapal dagang.
“Sedangkan operasi PB jelas hanya sebatas 1 batu nautika dari pesisir pantai dan ini yang akan kita ubah bagi membela nasib nelayan di kawasan ini yang terpaksa bergadai nyawa dan wang untuk ke laut dalam menangkap ikan.
“Kalau ke laut dalam dapat hasil, tidak mengapa namun kalau tiada tangkapan sudah tentu menyebabkan kerugian kepada nelayan kita yang sememangnya ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Dengan PB, mereka tidak perlu lagi bergerak menggunakan perahu turun ke laut dalam, mereka hanya perlu mendaratkan PB di kawasan berdekatan untuk menangkap ikan.
“Kaedah ini juga popular digunakan nelayan di kawasan Pantai Timur dan Pantai Utara Sabah kerana lebih effisien dan selamat, sekaligus mampu meningkatkan pendapatan nelayan atau pengusaha PB,” katanya.
Dr. Daud yang juga Naib Presiden Warisan berkata, bagi inisiatif kedua di bawah bidang yang sama, beliau juga akan melaksanakan projek penanaman tukun tiruan bagi meningkatkan populasi ikan di kawasan itu.
Katanya, usaha itu akan menggunakan Tukun Tiruan Gergasi (TTG) di kawasan laut berdekatan Menumbok yang turut berfungsi menghalang ancaman pukat tarik yang sering berlaku ketika ini.
“TTG perlukan kawasan laut dalam yang tidak ada di kawasan Bongawan, sebab itu kita pilih laut Menumbok dan Kuala Penyu kerana selain dalam, ia dapat beri manfaat juga kepada nelayan Bongawan dan Membakut.
“Usaha ini strategik kerana saya berpendapat, manfaatnya harus merangkumi semua nelayan di kawasan terbabit tanpa memberi keuntungan untuk satu pihak saja..sama-sama rasa,” katanya.
Sehubungan itu katanya, beliau memberi jaminan usaha yang turut dimasukkan di bawah manifesto Warisan Pusat ini mampu melonjakkan pendapatan dan ekonomi nelayan tempatan.
Dr. Daud berkata, sebaik semua usaha itu memberikan hasil, pihaknya juga akan memperkasakan industri hiliran berasaskan perikanan yang sudah tentu akan membuka ruang ekonomi baharu kepada komuniti nelayan.
Katanya, pelaksanaan perancangan itu akan digerakkan melalui pembangunan rangkaian pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran produk laut secara lebih sistematik.
“Antara inisiatif kita untuk menjayakannya adalah melalui penubuhan koperasi nelayan yang akan memainkan peranan penting, termasuk mewujudkan kemudahan operasi yang diperlukan untuk industri ini.
“Kita yakin mampu merealisasikannya, sebab itu sokongan semua rakyat diperlukan bagi memastikan bukan saja kerusi Bongawan dipertahankan, tetapi juga kawasan lainnya selepas PRU17 ini,” tegasnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles