TAWAU – Pemerhati politik Sabah, Mohd. Zaki Harry Susanto menyifatkan DUN Merotai sebagai antara kawasan paling menarik untuk diperhatikan menjelang PRN Sabah ke-17 selepas melihat peningkatan ketara sokongan masyarakat terhadap calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ruji Ubi. Menurut Zaki, sentimen pengundi di peringkat akar umbi menunjukkan kecenderungan baharu yang dipacu oleh reputasi bersih dan rekod perkhidmatan cemerlang Ruji sebelum ini.
“Aura Ruji yang juga bekas pegawai kanan kerajaan dilihat semakin diterima oleh masyarakat Merotai. Golongan muda profesional dan penjawat awam melihat Ruji sebagai pemimpin berprofil tinggi yang mampu membawa pembangunan lebih tersusun ke kawasan itu.
“Ruji datang dengan pengalaman dan integriti, dua faktor yang kini menjadi penilaian utama pengundi,” kata Zaki.
Zaki turut menyatakan bahawa peningkatan sokongan terhadap Ruji Ubi bukan berlaku secara bersendirian sebaliknya turut dipengaruhi oleh isyarat positif daripada kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Merotai. Kerjasama tidak formal di peringkat komuniti itu menjadi faktor yang mengubah persepsi politik setempat.
Nama yang disebut paling memberi impak ialah Ketua Bahagian PGRS Merotai, Cikgu Jailani Chacho, yang dilihat memainkan peranan penting dalam menyatukan penyokong GRS di peringkat akar umbi untuk memberi ruang kepada calon yang dianggap paling berwibawa demi kepentingan pembangunan kawasan.
“Sokongan moral dan keterbukaan kepimpinan GRS Merotai terhadap Ruji disifatkan sebagai angin baharu dalam landskap politik tempatan. Malah, kehadiran Cikgu Jailani Chacho dalam beberapa program masyarakat bersama Ruji walaupun tidak secara rasmi telah mengikat komitmen politik sekaligus telah memberi gambaran bahawa wujud usaha menyokong calon yang mampu membawa kestabilan politik di Merotai.
“Ini bukan soal parti, tetapi soal siapa yang boleh bekerja untuk rakyat selain siapa yang boleh membawa pembangunan di Merotai. Kita akui Ruji memiliki jaringan hubungan yang baik dengan agensi kerajaan di peringkat persekutan dan ia adalah satu kelebihan, ” tegas Zaki lagi.
“Hasilnya, pengundi di Merotai kini lebih berani menyatakan sokongan terbuka, termasuk dalam kelompok yang sebelum ini dilihat neutral. Fenomena ini turut dikuatkan dengan kematangan politik masyarakat yang semakin menilai calon berdasarkan keupayaan individu, bukan hanya label parti.”
Zaki juga yakin, jika momentum ini berterusan, Merotai berpotensi menjadi kerusi kejutan yang memperlihatkan gabungan sokongan rentas parti bagi memastikan tokoh tempatan yang berkaliber dapat diangkat untuk membawa suara rakyat ke peringkat negeri.
“Ruji Ubi kini berada dalam posisi kukuh untuk memanfaatkan aliran sokongan tersebut. Dalam masa terdekat, dijangka lebih banyak perkembangan politik akan berlaku di Merotai, terutama apabila parti-parti besar mulai memuktamadkan strategi masing-masing.
“Buat masa ini, trend yang muncul jelas menunjukkan Ruji Ubi menjadi antara figura paling mendapat perhatian dan sokongan menjelang PRN Sabah ke-17.”
