SANDAKAN : Calon SAPP bagi kerusi DUN Tanjong Papat, Henley Liew Yun Ye, telah mengadakan sesi temu mesra bersama kira-kira 50 penduduk di Jambatan 17, Kampung Melayu Sim-Sim, semalam.
Dalam sidang media selepas program tersebut, beliau menyampaikan wawasannya untuk Sandakan khususnya Tanjong Papat sekira diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat.
Henley Liew berhasrat menggunakan kekuatannya dalam pentadbiran dan kepimpinan untuk memacu kesejahteraan sosial dan kemakmuran ekonomi penduduk Sandakan, khususnya di Tanjong Papat. Beliau bertekad menangani isu sosio-ekonomi dengan memberi tumpuan kepada program pembangunan yang berimpak positif kepada kehidupan penduduk.
Beliau membangkitkan kebimbangan mengenai pengurusan kewangan negeri, dengan merujuk kepada kenyataan Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan yang mendedahkan sebahagian besar peruntukan pembangunan tahunan RM6.7 bilion sering dikembalikan kerana tidak digunakan. Justeru, beliau menyokong penuh cadangan agar dana yang tidak sempat dibelanjakan itu disimpan dalam amanah negeri bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan.
Mengambil contoh Sarawak, Henley Liew mempersoalkan mengapa Sabah tidak dapat mencontohi kejayaan jirannya itu. Beliau mendakwa pemimpin Malaya bimbang sekiranya Sabah mengikut model kepimpinan Sarawak dan cuba mengekalkan penguasaan politik ke atas negeri ini.
Dengan tegasnya, beliau menyatakan tekad untuk memperjuangkan hak 40% di bawah Perjanjian MA63, sambil menegaskan, “Kita bukan peminta sedekah.” Prinsip “Rumah kita, kita jaga” ditekankan, dengan menyatakan autonomi pentadbiran melalui pemerintahan parti dan pemimpin tempatan adalah kunci.
Henley Liew turut mencabar semua pemimpin tempatan yang berkualiti agar tampil ke hadapan dan menawarkan diri untuk berkhidmat kepada rakyat melalui platform parti tempatan.
Beliau berharap dapat diberi peluang untuk berkhidmat dan yakin dapat membawa manfaat optimum kepada rakyat Sabah melalui perspektif kepimpinan yang cemerlang.
Turut hadir Pengurus Kempen Pilihan Raya SAPP DUN Tanjong Papat Thomas Lau Chi Keong.
