Oleh: John T.
TAMBUNAN: Pengesahan sokongan Parti Bersatu Sabah (PBS) terhadap calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperkukuh lagi keyakinan parti itu untuk memenangi kerusi DUN Tambunan dalam Pilihan raya negeri ke-17 (PRN17).
Pengesahan itu dinyatakan Ketua Bahagian PBS Tambunan, Datuk Daniel Kinsik yang tampil memperjelaskan pendirian rasmi parti itu, selepas timbul beberapa kekeliruan berhubung kenyataan yang dibuat oleh Naib Ketua Bahagian PBS Tambunan tanpa mandat parti.
Dalam pertemuan khas bersama kepimpinan GRS Tambunan, beliau menyatakan dengan tegas bahawa PBS Tambunan secara rasmi mengisytiharkan sokongan penuh kepada Calon GRS N39 Tambunan, Dato’ Victor P. Paut, dan komited untuk menggerakkan seluruh jentera parti bagi memastikan kemenangan calon GRS dalam PRN17.
Pengisytiharan sokongan ini turut disertai oleh lebih 3,000 ahli PBS Tambunan, sekaligus menamatkan semua spekulasi mengenai pendirian parti di peringkat bahagian.
Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Wakil Calon Tuan Mohd Hajjaz Iqbal, serta kepimpinan tempatan termasuk Tuan Silverius Bruno Timbalan Ketua Bahagian PBS, Zainal Rashid Naib Ketua Bahagian PBS, Tuan Daniel AJK Bahagian PGRS Tambunan, Tuan Romanus AJK Bahagian PGRS Tambunan dan barisan AJK Bahagian PBS Tambunan.
Mesyuarat berkenaan turut memutuskan bahawa seluruh jentera PBS Tambunan akan bekerjasama rapat dengan pasukan GRS Tambunan dalam gerak kerja pilihan raya, termasuk mobilisasi akar umbi dan pemantapan strategi kempen.
Dengan sokongan gabungan ini, kekuatan jentera dan penyokong GRS Tambunan kini mencecah lebih kurang 20,000 orang, terdiri daripada 17,000 ahli PGRS Tambunan dan 3,000 ahli PBS Tambunan, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap prestasi calon GRS di DUN N39 Tambunan.
