KOTA KINABALU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan menegaskan bahawa komitmen dan fokus utama kerjaya politik beliau adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan membawa perjuangan jentera parti untuk menyumbang kemenangan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, soal beliau bertanding atas tiket bebas atau tidak bagi kerusi DUN Pintasan adalah soal kedua dan beliau tidak mahu membuat keputusan secara terburu-buru.
“Apapun, kena bincang dengan jentera dan sahabat-sahabat saya dari Pemuda kerana tindakan saya akan beri kesan besar, bukan pada Pintasan sahaja tapi juga jentera Pemuda.
“Kita akan cuba fikir dan buat yang terbaik untuk parti ini, dan makluman, dari berminggu-minggu saya dihubungi oleh pelbagai parti lokal dan Semenanjung, sangkaan mereka saya tidak jadi calon.
“Saya menolak dengan baik permintaan mereka kerana saya hormat sebagai rakan dan saya hormat parti saya. Perjuangan bersama parti, ini yang penting,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir dalam Mesyuarat Exco Pemuda Gagasan Rakyat bagi menyerahkan tugas-tugas kempen pilihan raya, di sini, petang tadi.
Menurut Ketua Pemuda Gagasan Rakyat itu, beliau menerima keputusan Presiden, Datuk Seri Hajiji Noor yang meletakkan Presiden USNI Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi kerusi GRS DUN Pintasan untuk Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Fokus saya sekarang adalah untuk gerakkan jentera Pemuda, kerja keras bagi kawasan yang ada calon kita, soal diri saya sendiri, lepas ini saya akan jumpa presiden, minta nasihat, pandangan, tengok macam mana.
“Kita faham, di kawasan, kekecewaan penyokong dan jentera kita, tapi kita akan fikir selepas ini, kerana untuk buat keputusan tanding atau tidak, tiket bebas atau apa nanti, agak berat, kita kena teliti betul-betul.
“Untuk Pintasan, memang ini kerusi Pemuda, kita sudah bekerja dari awal sampai sekarang, tanpa henti,” katanya lagi.
Fairuz turut memberitahu bahawa beliau mahu fokus kepada kerja-kerja utama jentera dan membawa suara akar umbi di Pintasan tanpa meletakkan sebarang sentimen emosi.
“Semalam saya dihubungi oleh Presiden, mengatakan saya adalah calon di kawasan tersebut, alhamdulillah tapi saat-saat akhir, dihubungi semula, dan bertukar tapi tidak mengapa, kita terima.
“Bagi saya perjuangan di Pintasan belum selesai, masih banyak perkara yang perlu buat dan selesaikan kerana terlalu banyak, terutamanya baki geran pantas yang saya mahu keluarkan dan serahkan kepada pemilik tanah.
“Persoalan berkenaan adakah saya akan langgar perintah Presiden, untuk bertanding di Pintasan, itu perkara kedua, kita akan balik kawasan dan bincang,” ujar beliau lagi.
Fairuz merupakan ADUN Pintasan selepas menang semasa Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-16, pada tahun 2020 dengan majoriti 84 undi, menewaskan Presiden USNO merangkap calon GRS untuk kerusi DUN Pintasan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Fairuz turut membawa banyak pembangunan khasnya penambahbaikan infrastruktur di seluruh kawasan Pintasan, termasuk pembangunan komuniti setempat.
Fairuz turut menjadi Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, sekaligus membawa pencapaian cemerlang kepada komuniti belia Sabah, khasnya di Pintasan dengan perlaksanaan pelbagai aktiviti sukan dan kemasyarakatan.
