Oleh Dr. Jakaria Dasan
Perkataan “nuansa” tidak bermaksud untuk mengkritik atau memihak kepada mana-mana parti atau calon pilihan raya. Sebaliknya, ia mengajak pembaca memahami bagaimana orang kebanyakan boleh menilai perbezaan konteks, niat, dan gaya pendekatan dalam dunia politik, serta bagaimana strategi dan tindakan politik memberi kesan kepada rakyat.
Dalam dunia politik, suasananya kadangkala seperti permainan catur. Penuh strategi, helah, dan langkah yang sukar dijangka. Setiap pemain mempunyai peranan masing-masing. Ada yang menjadi “raja” yang mesti dilindungi, ada “menteri” yang bergerak pantas, dan ada juga “bidak” yang nampak kecil tetapi mampu mengubah keputusan jika digerakkan dengan bijak.
Percaturan politik pula merujuk kepada strategi atau langkah yang dirancang oleh pelaku politik untuk mencapai sesuatu matlamat, sama ada mengekalkan kuasa, membentuk pakatan, atau menggugat lawan. Istilah ini bersifat neutral dan sering digunakan dalam wacana akademik serta laporan media untuk menggambarkan perancangan politik yang dibuat secara strategik. Contohnya, percaturan politik menjelang pilihan raya umum sering memperlihatkan perubahan strategi gabungan utama bagi menarik sokongan pengundi muda. Dalam hal ini, percaturan bukanlah salah tetapi ia adalah sebahagian daripada seni berpolitik. Namun, apabila strategi itu menjurus kepada agenda peribadi dan bukan kepentingan rakyat, barulah ia menimbulkan persoalan moral dan kejujuran.
Mencatur politik membawa konotasi lebih aktif dan taktikal. Frasa ini seolah-olah menggambarkan tangan tersembunyi yang mengatur semua langkah di papan kuasa. Kita sering mendengar, “pemimpin itu pandai mencatur politik dalaman partinya.” Kadangkala kepintaran mencatur dianggap kebolehan, tetapi jika terlalu licik sehingga rakyat menjadi mangsa, ia bukan lagi kebijaksanaan, sebaliknya menjadi manipulasi. Frasa ini menekankan kepintaran, kecekapan, dan kadangkala strategi licik dalam menggerakkan kuasa politik. Contohnya, pemimpin yang bijak mencatur politik dalaman partinya demi mengekalkan kedudukannya.
Politik catur digunakan secara metaforik untuk menggambarkan keseluruhan sistem politik sebagai “papan permainan” yang penuh strategi dan helah. Setiap tokoh politik berperanan seperti buah catur: raja, menteri, kuda, benteng, dan bidak yang mewakili rakyat sebagai pemerhati atau peserta tidak langsung. Politik catur menekankan sifat politik sebagai permainan kuasa, di mana keputusan setiap langkah bukan sekadar kemenangan, tetapi mempengaruhi kehidupan dan kesejahteraan rakyat. Yang paling penting bukan siapa menang di papan permainan, tetapi siapa benar-benar memahami tujuan permainan itu , yakni untuk membawa manfaat kepada rakyat.
Secara ringkasnya, setiap kali suasana politik memanas (urang Sabah bilang “memanas” ni keadaan yang semakin tegang dan hangat), rakyat akan memerhati siapa bersekutu dengan siapa, siapa berpaling tadah, dan siapa pula muncul sebagai pemain baharu. Politik seperti ini tidak jauh beza dengan permainan catur, tetapi di papan kuasa, taruhannya bukan sekadar kemenangan, ia adalah masa depan rakyat sendiri. Jika setiap pemain politik melihat permainan ini bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk menamatkan permainan dengan maruah dan kejujuran, rakyat mungkin akan kembali percaya kepada politik itu sendiri. Hakikatnya, politik bukan tentang siapa paling pandai mencatur, tetapi siapa paling ikhlas membela rakyat.
Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal berlangsung menawarkan senario politik yang amat menarik, terutama dari perspektif percaturan dan strategi kuasa. Apa yang menjadikan permainan kali ini lebih kompleks ialah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam strategi kempen dari analisis data pengundi hingga penyusunan mesej politik mengikut demografi. Dalam konteks papan catur politik, setiap langkah dan mesej kini boleh dioptimumkan menggunakan algoritma pintar, menjadikan permainan lebih strategik dan sukar diramal secara tradisional.
Akibatnya, perbezaan sebenar antara kebijakan, visi, atau karisma pemimpin semakin sukar dilihat. Rakyat bukan sahaja perlu membaca percaturan politik dan langkah-langkah mencatur di belakang tabir, tetapi juga menilai bagaimana teknologi mempengaruhi persepsi mereka. Politik catur kini bukan sekadar tentang siapa pandai berstrategi, tetapi juga tentang siapa bijak menggunakan alat moden untuk menggerakkan “buah catur” mereka, sama ada secara sahih atau manipulatif.
Fenomena ini menimbulkan satu nuansa baru dalam politik moden: rakyat bukan lagi sekadar menilai retorik dan personaliti pemimpin, tetapi turut memahami bagaimana strategi digital dan AI membentuk naratif pilihan raya. Senario politik Sabah bukan sahaja menarik dari sudut percaturan dan pencaturan kuasa, tetapi juga mencerminkan interaksi antara teknologi dan strategi tradisional, menghasilkan warna politik yang lebih kompleks dan memerlukan kefahaman mendalam daripada setiap pengundi.
Semoga penulisan ini diterima dengan baik oleh semua pihak sebagai satu renungan yang bersifat objektif, bukan partisan. Ia diharap menjadi lontaran idea tentang masa depan negeri dan negara tercinta, yang memerlukan kepimpinan berwibawa, berkredibiliti, dan bertanggungjawab untuk membimbing tanah air tumpahnya darah ku ini ke arah kemajuan.
Tentang Penulis
Dr. Jakaria Dasan ialah Profesor Madya di Universiti Malaysia Sabah. Kepakaran akademiknya tertumpu kepada pembangunan sumber manusia, komunikasi strategik, dan pembangunan komuniti. Pernah berkhidmat dalam arena politik sebagai Setiausaha Sulit dan Perhubungan Awam kepada seorang Menteri di Sabah selama hampir 10 tahun sebelum menyertai UMS pada tahun 2006. Berdasarkan pengalaman itu, beliau lebih gemar menjadi pemerhati politik semasa.
