Bekas Setiausaha PKR Sabah sertai Warisan, sebut Ewon buat “gimik politik”


KOTA KINABALU: Bekas Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Sazalye Donol, semalam menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan), menyifatkan parti pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu sebagai satu-satunya wadah yang benar-benar memperjuangkan hak rakyat dan negeri Sabah.

Bercakap pada sidang media bersama Shafie di ibu pejabat Warisan, Sazalye berkata keputusan beliau dibuat selepas menilai dengan mendalam hala tuju politik semasa khususnya dalam isu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah.

“Warisan ini satu-satunya parti yang sama selera dengan saya dan sahabat-sahabat saya. Saya nampak Warisan bukan sekadar bercakap tapi melaksanakan, terutama dari segi pelaksanaan MA63,” katanya.

Menurutnya, Warisan membuktikan komitmen terhadap rakyat melalui tindakan nyata semasa mentadbir negeri dari 2018 hingga 2020, termasuk pemberian geran tanah kepada rakyat tempatan.

“Kalau Warisan ini betul-betul PTI seperti yang sesetengah pihak tuduh, tidak mungkin kerajaan Warisan dulu bagi tanah kepada rakyat Sabah sendiri,” tegasnya.

Sazalye turut menjelaskan keputusannya meninggalkan PKR bukan disebabkan permusuhan tetapi kerana mahu bersama wadah yang lebih bersih, telus dan konsisten.

“Yang lama bukan tidak baik, tapi saya mahu bilik yang lebih bersih. Warisan ini saya nampak betul-betul menjaga kesatuan rakyat Sabah,” katanya.

Mengulas tindakan Datuk Ewon Benedick yang mengumumkan peletakan jawatan daripada Kabinet Persekutuan berhubung isu 40 peratus hasil negeri, Sazalye menyifatkannya sebagai “gimik politik” menjelang pilihan raya.

“Ewon sebelum ini kata akan letak jawatan jika keputusan mahkamah dirayu. Tapi tiada rayuan pun dibuat. Jadi bagi saya, ini lebih kepada gimik politik. Beliau mahu tonjolkan diri sebagai wira hak Sabah,” katanya.

Sazalye turut menzahirkan kekesalan terhadap kenyataan Perdana Menteri yang dianggap keliru dengan keputusan mahkamah mengenai 40 peratus hasil negeri, sambil menegaskan bahawa Warisan sejak dahulu konsisten mempertahankan hak Sabah berdasarkan MA63.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles