KOTA KINABALU: Parti Kerjasama Anak Negeri (ANAK NEGERI) mempertaruhkan calon wanita ahli ekonomi, Dionysia Ginsos untuk bertanding di DUN Tambunan pada Pilihan Raya Umum Negeri Sabah (PRU Sabah) Ke-17
Dionysia, 33, anak jati Kinabaan, Tambunan bakal bertarung menentang Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan,78, yang diramal akan mempertahankan kerusi DUN Tambunan dalam PRU Sabah.
Pencalonan Dionysia disahkan oleh Presiden ANAK NEGERI Datuk Henrynus Amin.
Dionysia memiliki Ijazah Ekonomi Pembangunan dan Perancangan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau juga merupakan bekas Setiausaha kelab Bola sepak BMU Kota Kinabalu sebelum menceburi bidang politik.
Dionysia mengucapkan terima kasih kepada barisan kepimpinan parti ANAK NEGERI yang memberi peluang untuk mewakili parti pada PRU Sabah kali ini.
Katanya walaupun dianggap sebagai calon underdog, namun ia tidak melunturkan semangatnya untuk bertarung meraih sokongan rakyat terutama pengundi muda.
“Tiada yang mustahil dalam arena politik.
Kecil-kecil cili padi – Tiada yang mengatakan perjalanan dalam memperjuangkan sesuatu yang perlu itu mudah, tetapi tiada juga cakap perjalanan itu sesuatu yang susah.
“Yang penting yakin dan berusaha, sesuatu yang mustahil boleh jadi pasti,” katanya.
Dionysia mengajak warga Tambunan supaya bangkit dan berani melakukan perubahan demi masa depan yang baik dalam PRU Sabah 29 November ini.
