PRU Sabah : KDM lebar sayap di Sandakan

SANDAKAN: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) terus berusaha meluaskan pengaruh mereka menjelang Pilihan Raya Undangan Sabah (PRU Sabah) akan datang apabila mereka muncul pula di Sandakan, hari ini.

Satu majlis makan tengah hari antara Pimpinan Tertinggi KDM dengan komuniti serta persatuan masyarakat Tionghua Sandakan telah berlangsung di sebuah hotel, di sini.

Pimpinan Tertinggi KDM yang hadir ialah Timbalan Presiden yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya parti itu, Datuk Wetrom Bahanda, Naib Presiden, Henry Saimpon, Setiausaha Agung, Willie Jude dan Bendahari Agung, David Lo.

Antara persatuan yang hadir pula ialah Persatuan Masyarakat Tionghua Bersekutu Sandakan, Dewan Perniagaan Tionghua Sandakan dan Persatuan Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Sandakan.

Dalam sidang media selepas majlis itu, Wetrom berkata, KDM dalam peringkat perbincangan untuk memperhalusi kerusi yang bakal ditandingi dengan mengambil kira sejauh mana penerimaan masyarakat itu terhadap parti.

Buat masa ini, katanya, mereka tidak akan mendedahkan kerusi yang bakal ditandingi sehinggalah pengumuman calon KDM pada 13 November depan di Kota Kinabalu.

“Kita di peringkat perbincangan untuk memperhalusi (kerusi bakal ditandingi). Sebelum kita umum bertanding atau tidak, kita perlu berjumpa dengan mereka (pemimpin masyarakat Tionghua) dulu.

“Kalau masyarakat Tionghua di sini kata KDM ini parti ‘local’ yang mereka ingin jadikan sebagai wadah perjuangan, maka kemungkinan besar kita akan bertanding di kawasan Sandakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Tengah Hari Pimpinan Tertinggi KDM Bersama Komuniti dan Persatuan Masyarakat Cina, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Agung KDM, Willie Jude.

Dua kerusi majoriti kaum Cina dalam kawasan Parlimen Sandakan adalah Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura dan Tanjung Papat.

Wetrom berkata, KDM juga masih mengekalkan pendirian untuk bertanding secara solo pada PRN17 dengan setakat ini, parti itu mengesahkan akan bertanding di 37 kerusi DUN.

Katanya, salah satu kerusi kawasan majoriti kaum Cina yang bakal ditandingi KDM adalah DUN Sri Tanjung dengan KDM menerima sambutan menggalakkan daripada kaum itu.

“Tidak boleh dinafikan nama parti kita agak sinonim dengan kaum KDM (Kadazandusun dan Murut) tetapi mereka (kaum Cina) melihat perjuangan kita untuk rakyat.

“Kita terima sambutan positif dan menggalakkan di setiap kawasan kita pergi kerana KDM adalah satu parti tempatan yang bergerak, struktur parti kita adalah ‘multiracial’,” katanya. Info X

Related Articles

253FansLike

Latest Articles