Program CSR Kelab Teknologi Makanan UMS Perkukuh Hubungan Universiti Dan Komuniti Sekolah

RANAU: Seramai 39 pelajar Program Teknologi Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjayakan Program Khidmat Masyarakat (CSR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, Ranau, baru-baru ini.

Menurut kenyataan FSMP, program yang dikendalikan Kelab Teknologi Makanan itu merupakan aktiviti komuniti pertama fakulti berkenaan di luar kampus dengan objektif memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti sekolah.

“Ia juga bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai bidang sains dan teknologi makanan. 

“Program ini turut melibatkan 15 ahli jawatankuasa pelaksana dan 45 pelajar SMK Mat Salleh,” demikian menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan di sini, hari ini. 

Menurut FSMP, antara aktiviti utama yang diadakan ialah demonstrasi pembuatan “Durian Husk Noodle” iaitu sebuah inovasi memanfaatkan kulit buah durian sebagai bahan mentah bernilai tambah.

“Selain itu, turut diadakan Pertandingan Cipta Produk Makanan Berasaskan Buah-buahan Tempatan yang memberi peluang kepada pelajar sekolah menonjolkan kreativiti dan meneroka potensi produk makanan tempatan.

“Majlis penutupan disempurnakan Dekan FSMP UMS, Prof. Ts. Dr. Hasmadi Mamat, dan turut dihadiri Pengetua SMK Mat Salleh, Boy @ Syarif Francis, barisan Penolong Kanan, Ketua Bidang Sains Matematik, guru-guru dan pelajar sekolah.

“Pihak sekolah turut menzahirkan penghargaan kepada UMS atas inisiatif berkenaan yang memperkayakan pengetahuan pelajar dalam bidang makanan dan pemakanan serta memupuk semangat kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah menengah,” ujar kenyataan itu lagi.

Untuk rekod, program CSR itu turut menjadi platform kepada pelajar UMS mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah dan memperkukuh kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan serta kerja berpasukan melalui interaksi langsung dengan masyarakat luar kampus.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles