KARANAAN,: Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Karanaan sebulat suara menamakan Ketua Penerangan STARSABAH, Tuan Mohd. Anuar bin Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Ghani Gilong, sebagai calon tunggal parti bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan dalam Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) akan datang.
Keputusan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat khas yang melibatkan kepimpinan bahagian, wakil-wakil Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta sayap Wanita dan Pemuda STAR Karanaan, yang diadakan baru-baru ini.
Ketua Bahagian STAR Karanaan, Saudin, berkata keputusan berkenaan dibuat selepas meneliti potensi dan pengalaman calon yang diyakini mampu membawa suara rakyat di peringkat negeri.
“Kami berdiri teguh di belakang keputusan ini. Tuan Anuar bukan sahaja anak jati Karanaan yang memahami denyut nadi masyarakat, malah memiliki latar belakang profesional yang kukuh.
Seluruh jentera kami kini bersedia digerakkan pada bila-bila masa,” katanya selepas mesyuarat tersebut.
Saudin turut menegaskan bahawa STAR Karanaan kekal komited menyokong kepimpinan Presiden STARSABAH, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, yang berani membawa halatuju parti secara berdikari berteraskan semangat “Sabah For Sabahans” dan “Justice For Sabah.”
“Kepimpinan Dr. Jeffrey menjadi pendorong kami di Karanaan untuk terus memperjuangkan keadilan dan pembangunan buat rakyat Sabah,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Wanita STAR Karanaan, Puan Azwa Nabihan Amit, memberi jaminan bahawa sayap wanita akan menggerakkan kempen dari peringkat akar umbi.
“Wanita STAR Karanaan akan turun padang mengetuk pintu ke pintu, memastikan mesej perjuangan parti dan calon sampai kepada setiap isi rumah,” ujarnya.
Bagi Ketua Pemuda STAR Karanaan, Royston Justin, kehadiran Anuar sebagai calon diyakini dapat memperkukuh sokongan generasi muda terhadap parti.
“Beliau seorang tokoh berpengalaman dan dekat dengan masyarakat. Ini penting bagi memastikan suara anak muda turut diberi perhatian,” katanya.
Siapa Anuar Ghani?
Mohd. Anuar, yang kini menjawat jawatan Ketua Penerangan STARSABAH, merupakan anak kelahiran Karanaan yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perundangan, pentadbiran dan pembangunan komuniti.
Beliau pernah berkhidmat sebagai peguam bertauliah dari tahun 1985 hingga 2017, mengendalikan pelbagai kes penting termasuk perlembagaan, pilihan raya, sivil, pembuangan kerja, tanah dan kecederaan diri (personal injury) di semua peringkat mahkamah termasuk Mahkamah Persekutuan. Beberapa kes beliau turut dilaporkan dalam Jurnal Undang-Undang.
Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, yang memberinya pengalaman luas dalam memahami cabaran sektor pertanian dan pentadbiran kerajaan di Sabah.
Anuar juga aktif dalam pelbagai inisiatif komuniti, antaranya sebagai Penyelaras Ranau Environment, Agriculture & Tourism Committee (REACT) dengan slogan “REACT adalah untuk Kampung Halaman Kita.”
REACT telah membentangkan 25 perkara pembangunan Ranau dalam Mesyuarat Pelan Induk Ranau (Ranau Masterplan) bersama Institute for Development Studies (IDS).
Beliau bersama Athmat Hasan dan Martin Tommy turut merangka penubuhan Lembaga Padi Bukit Sabah (LPBS) serta berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Padi Bukit LPBS.
Anuar juga terlibat dalam pembentukan Dasar Durian Sabah (Sabah Durian Policy), inisiatif mitigasi banjir dan irigasi sawah padi, serta Coral Triangle Initiative (CTI) bagi pemuliharaan alam sekitar marin.
Dalam bidang sukan dan pelancongan, Anuar merupakan pengasas Kinabalu Four Wheel Drive Club, yang memulakan acara Borneo Safari 4×4 sejak tahun 1991 hingga kini.
Beliau juga pengasas dan pengarah North Borneo Explorer Sdn. Bhd. (NBE), yang berjaya menganjurkan Trans Borneo Expedition — ekspedisi rentas sempadan yang menjelajah seluruh Pulau Borneo pada tahun 1996, 1997, 2014, serta sebahagian laluan pada 2017 dan 2019, mempromosikan pelancongan serantau serta semangat perpaduan antara Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan.
Moto politik beliau, “Ada apa yang saya boleh bantu?”, mencerminkan tekad untuk berkhidmat dengan hati dan tindakan.
Beliau juga antara individu yang mengusulkan kajian rawatan penyakit Thalassemia, memandangkan komuniti KDMR mencatat jumlah pesakit tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara.
Anuar turut mencadangkan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar menjalankan kajian kesihatan dan alam sekitar berkaitan kesan sisa Lombong Mamut, kerana kesannya terhadap komuniti masih belum diketahui sepenuhnya.
UMS telah menjalankan penyelidikan dan membuat lapuran Alam sekitar dan Kesihatan atas permintaan mendiang Juliana Situn dan Anuar Ghani.
Fokus dan Keutamaan
Antara keutamaan beliau sekiranya diberi mandat termasuk:
Memperkenalkan dan memperluas penggunaan teknologi moden seperti AI, IoT, dan Blockchain dalam pembangunan negeri;
Memperkasa sektor pertanian mampan dan pelancongan komuniti di Karanaan dan Ranau;
Memperjuangkan pembinaan jalan raya Ranau–Tamparuli, klinik daerah dan klinik kesihatan baharu;
Memastikan pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan seimbang di pedalaman Sabah;
Serta menjadi suara berani dan berprinsip di Dewan Undangan Negeri Sabah.
Beliau juga pernah merangka Memorandum Persefahaman (MoU) antara PBS dan STAR dalam usaha menyatukan kaum KDMR, seperti yang pernah diusahakan oleh ayah beliau pada tahun 1964 melalui penggabungan UNKO dan Pasok Momogun.
“Kegagalan kesatuan PBS-STAR merupakan satu kekecewaan besar bagi saya,” kata Anuar dengan nada tegas.
Saudin menambah bahawa bahagian itu berharap agar pencalonan Anuar Ghani mendapat pertimbangan dan restu daripada Presiden Parti.
“Kami yakin dengan kepimpinan beliau dan percaya pencalonan ini akan memberi impak positif kepada prestasi STAR dalam PRU17 akan datang,” katanya.
Mesyuarat berakhir dengan laungan semangat “Sabah For Sabahans” dan “Justice For Sabah” — simbol perpaduan dan perjuangan rakyat di bawah panji Parti STARSABAH.
