TUARAN: Parti STAR dijangka mempertaruhkan calon wanita untuk bertanding di DUN Kiulu pada Pilihan Raya Umum Negeri Sabah Ke-17.
Menurut sumber dalaman parti STAR, antara nama yang disebut-sebut ialah AhliJawatankuasa Exco Wiranita STAR Sabah, Karen Cassandra Ambrose.
Berasal dari Kampung Tiong Ratau, Kiulu, Karen Cassandra yang berumur 29 tahun memiliki Diploma Komunikasi Massa dan Pengajian Media dari UiTM dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Utara Malaysia.
Ketika diminta mengulas spekulasi itu, Karen Cassandra berkata setakat ini belum ada pengumuman rasmi berhubung perkara itu.
“Sebagai penyokong kuat parti, saya bersedia menjadi calon pada Pilihan Raya Umum negeri Sabah, sekiranya diberi peluang oleh pucuk pimpinan Parti STAR,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun terpulang kepada pimpinan parti untuk membuat keputusan.
Sebelum ini, ramai pemerhati politik meramalkan pemimpin STAR Kiulu Gundohing Terence Sinti bakal dicalonkan semula untuk bertanding di DUN itu.
Sementara itu, penyandang Datuk Joniston Bangkuai mewakili GRS, Henry Saimpon (KDM) dan Saibin Gunsari (Warisan) hampir pasti bertanding di DUN Kiulu pada pilihan raya umum negeri yang diadakan tidak lama lagi.
