TUARAN: Program “Pendidikan Inklusif dan Bahasa Kadazandusun : Mendidik dengan hati” telah berlangsung dengan jayanya di SK. Pekan Tamparuli, Tuaran, anjuran PISMP BKD Ambilan Sept 2021, Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, Tuaran.
Program itu disertai oleh 23 siswa guru serta 2 pensyarah Bahasa Kadazandusun.
Ia bertujuan antara lain memberi pendedahan kepada siswa guru mengenai pelaksanaan program inklusif khususnya dalam pengajaran Bahasa Kadazandusun dengan mengambil kira kepelbagaian keupayaan murid.
Program ini telah diketuai oleh Pn. Rosmahwati Binti Ebbie, selaku pensyarah penyelaras bagi kursus BKDB3283 Pendidikan Inklusif Dalam Pengajaran dan Pembelajaran.
Objektif utama pelaksanaan program tersebut adalah untuk memenuhi keperluan kursus BKDB3283 yang menekankan pembangunan kemahiran amali dan pedagogi dalam pengajaran Bahasa Kadazandusun.
Program itu mengaplikasikan teori pedagogi inklusif di sekolah rendah melalui aktiviti pembelajaran yang interaktif serta mengambil kira kepelbagaian keperluan murid.
Selain itu, program berkenaan menggalakkan pemikiran kritis, kolaborasi, kepimpinan dan memupuk kesedaran dan kefahaman tentang nilai budaya Kadazandusun dalam konteks pendidikan inklusif.
Sepanjang program berlangsung, siswa guru berpeluang mendengar ceramah daripada Pn. Nurul Aqma Yatau, Penyelaras Program Inklusif PPKI SK. Pekan Tamparuli, Tuaran.
Beliau menyampaikan perkongsian yang bertajuk “Apa Itu Pendidikan Inklusif?”. Selain itu, murid juga berpeluang untuk melawat booth pameran bahan pengajaran dan pembelajaran inklusif yang disediakan oleh siswa guru IPG Kampus Kent, Tuaran.
Guru Besar SK. Pekan Tamparuli, Tn. Jasnie Omar, menzahirkan rasa penghargaan kepada pihak IPG Kampus Kent, Tuaran atas pemilihan sekolah tersebut sebagai lokasi pelaksanaan program.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan program ini amat penting bagi memperkukuh pendidikan inklusif dan memartabatkan bahasa ibunda, selain membentuk guru yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi juga mendidik dengan hati dan jiwa yang ikhlas.
Sementara itu, penyelaras program tersebut Pn. Rosmahwati Binti Ebbie berkata bahawa program tersebut merupakan satu inisiatif yang sangat baik bagi memberi pendedahan kepada bakal guru yang mengambil BKD sebagai major untuk menghadapi cabaran sebenar dalam proses pengajaran dan pembelajaran pada masa akan datang.
Pengarah IPG Kampus Kent Dr Norafidah Binti Noralidin turut menyokong program ini yang mendedahkan aspek kesamarataan dalam pemberian pendidikan sama ada murid berkeperluan khas dengan murid perdana. Encik Sinit @ John Gitom Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun turut menzahirkan rasa keprihatinan terhadap keperluan meningkatkan pengetahuan sedia ada dan memantapkan lagi pengalaman para pelajar agar dapat melengkapkan lagi persediaan untuk berhadapan dengan situasi di sekolah kelak.
Turut hadir bagi menjayakan program tersebut ialah Dr. Rosie Johnny, yang turut memberikan sokongan dan galakan kepada para siswa guru.
