KOTA KINABALU: Generasi muda Sabah hari ini tampil dengan kesedaran dan keberanian baharu untuk menuntut hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Bagi mereka, perjuangan ini bukan sekadar isu sejarah, tetapi soal maruah, masa depan dan tanggungjawab generasi.
Ahli Jawatankuasa Exco Wiranita STAR Sabah, Karen Cassandra, berkata bahawa sudah tiba masanya belia Sabah tidak lagi menjadi penonton di tanah sendiri. Golongan muda mesti menjadi sebahagian daripada perjuangan memperkukuh hak dan autonomi Sabah, selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia.
“Kita tidak mahu Sabah hanya menjadi penonton di tanah sendiri.
Kita mahu berdiri dengan hak kita sendiri, membuka peluang pekerjaan untuk anak muda kita sendiri,
dan memastikan suara belia Sabah dihormati serta didengari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan sebenar MA63 mampu membuka laluan kepada kemajuan ekonomi dan sosial yang lebih adil untuk rakyat Sabah terutamanya generasi muda yang kini berdepan cabaran mencari pekerjaan dan menstabilkan kehidupan di negeri sendiri.
“Peluang pekerjaan untuk anak muda Sabah masih menjadi antara cabaran terbesar kita. Ramai terpaksa berhijrah ke luar negeri kerana kurangnya peluang di tanah sendiri. Jika kuasa ekonomi, pendidikan, dan hasil negeri dikembalikan sepenuhnya kepada Sabah, kita boleh mencipta lebih banyak peluang untuk anak muda kita,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan menegakkan MA63 bukan semata-mata soal politik, tetapi tanggungjawab moral dan generasi agar hak negeri ini benar-benar dihormati dalam kerangka Persekutuan Malaysia.
“MA63 bukan nostalgia, tetapi kunci kepada masa depan Sabah.
Bila Sabah berkuasa terhadap sumber dan hasilnya, kita boleh membina masa depan sendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pusat.
Itu makna sebenar berdikari,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru agar semua pihak termasuk parti-parti politik memberi ruang sebenar kepada belia dan muka baharu untuk tampil ke hadapan dalam Pilihan Raya akan datang.
“Sudah sampai masanya kita memberi peluang kepada belia dan muka baharu untuk memimpin.
Kita bercakap tentang masa depan Sabah dan masa depan itu tidak akan berubah jika wajah yang sama terus mengawal ruang dan keputusan.
Generasi muda hari ini bukan lagi pemerhati, mereka adalah tenaga sebenar yang menggerakkan perubahan.
Pada akhirnya, 52% daripada pengundi di Sabah adalah belia.
Maka suara, aspirasi dan perjuangan mereka mesti diberi tempat di meja kepimpinan.
Kalau kita mahu Sabah bangkit, kita mesti berani membuka jalan untuk generasi baru memimpin dengan idea baru, tenaga baru dan semangat baru,” tegasnya.
Beliau menutup kenyataannya dengan penegasan bahawa STARSabah kekal sebagai wadah perjuangan rakyat Sabah dalam memperjuangkan hak negeri, memperkasa belia, dan membuka ruang sebenar untuk wanita muda mengambil peranan aktif dalam politik.
“Di bawah semangat STAR Sabah, perjuangan ini bukan retorik, tapi ini ialah tanggungjawab.
Kami percaya bahawa generasi muda dan wanita Sabah perlu diberi ruang sebenar dalam menentukan hala tuju negeri.
Inilah masa untuk membina semula keyakinan, kekuatan dan harapan,” katanya.
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan seruan yang kini menjadi simbol kebangkitan generasi muda Sabah:
“Sabah Bangkit. Belia Bergerak. Hak Dikembalikan.”
