160 Belia Sertai E-Sport Mobile Legends Tanjung Aru

TANJUNG ARU: Dewan Komuniti Tanjung Aru bergema dengan sorakan semangat apabila lebih 160 belia tempatan menyertai Pertandingan E-Sport Mobile Legends Tanjung Aru 2025 anjuran Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).

Program turut dihadiri ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat Tanjong Aru, Dr. Ritchie Jay Cheng sebagai jemputan khas. Ini menandakan komitmen beliau kepada kepimpinan muda dalam memperkukuh peranan belia dan mengangkat potensi digitalisasi di peringkat akar umbi.

Sebanyak 27 pasukan bertanding sepanjang hari dalam suasana penuh semangat kesukanan dan persaingan sihat.

Pasukan ‘Can Botak’ dinobatkan sebagai juara keseluruhan, manakala tujuh pasukan lain turut membawa pulang hadiah kemenangan masing-masing.

Dalam ucapannya, Dr. Ritchie Jay Cheng berkata penganjuran pertandingan E-Sport bukan sekadar aktiviti hiburan, tetapi platform penting untuk membentuk disiplin, kepimpinan dan kerjasama dalam kalangan belia masa kini.

“Anak muda Tanjung Aru perlu diyakinkan bahawa mereka bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi juga pencipta masa depan digital Sabah. Inilah semangat yang kita mahu semai melalui aktiviti seperti ini,” katanya.

Beliau menegaskan, Pemuda PGRS Tanjong Aru akan terus menjadi penggerak utama kepada usaha melibatkan golongan muda dalam program yang membina nilai dan memberi impak positif kepada komuniti.

“E-Sport ini membuktikan bahawa belia Tanjung Aru kreatif, berdisiplin dan mampu bersaing di peringkat tinggi. PGRS mahu terus menjadi jambatan antara aspirasi belia dan dasar kerajaan negeri yang progresif di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor,” tambahnya.

Pertandingan tersebut turut menjadi wadah memperkukuh perpaduan antara komuniti kampung dan bandar, di samping menyemai semangat harmoni serta kerjasama dalam kalangan generasi muda.

Dr. Ritchie menyeru agar lebih banyak program berasaskan pembangunan belia dan teknologi dianjurkan pada masa hadapan bagi memastikan Tanjung Aru terus menjadi hab tenaga muda yang dinamik dan berdaya saing, selaras dengan matlamat Sabah Maju Jaya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles