George ggesa rakyat tidak terpengaruh dengan spekulasi politik

SANDAKAN: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, menggesa rakyat agar tidak terpengaruh dengan pelbagai khabar angin dan spekulasi politik yang tular di media sosial kebelakangan ini, sambil menyifatkannya sebagai perkara biasa menjelang pilihan raya.

Beliau berkata, pengundi di Karamunting kini lebih matang dan mampu menilai siapa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat berbanding “pelakon sementara” yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.

“Dalam politik, memang akan ada pelbagai ‘angin’ menjelang pilihan raya. Ramai akan datang menunjukkan diri, tetapi rakyat Karamunting bukan seperti dahulu — mereka tahu siapa yang bekerja untuk rakyat dan siapa yang hanya berlakon semasa pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

George berkata, sejak dipilih pada 2018, pasukannya kekal berpegang pada prinsip memperjuangkan kepentingan rakyat dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah asas seperti infrastruktur, kebajikan masyarakat dan tindakan segera dalam menangani aduan awam.

“Selama tujuh tahun, kami bekerja dengan bukti, bukan slogan. Penduduk Karamunting melihat sendiri usaha kami, dan kami tidak pernah culas melaksanakan tanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menegur tindakan segelintir pemimpin pembangkang yang menurutnya hanya pandai menentang tanpa membawa cadangan membina.

“Saya lihat ada pemimpin pembangkang hanya tahu menghasut rakyat untuk menolak kerajaan sedia ada, tetapi gagal menawarkan pelan pembangunan yang jelas. Hakikatnya, kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Kerajaan Perpaduan MADANI adalah asas kepada kestabilan dan kemajuan Sabah,” katanya.

George berkata, kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat pengiktirafan antarabangsa berjaya menstabilkan nilai ringgit dan menarik perhatian pelabur serta pemimpin luar negara.

“Nilai ringgit kini jauh lebih stabil berbanding 2023. Hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan juga meningkatkan peruntukan pembangunan Sabah daripada RM4.4 bilion pada 2022 kepada RM6.9 bilion hari ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan kerajaan negeri untuk mengambil alih kuasa penjanaan elektrik pada 2024 menandakan langkah penting ke arah autonomi tenaga Sabah.

“Pencapaian ini bukan berlaku sekelip mata, sebaliknya hasil kesungguhan dan kerjasama berterusan antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, landskap politik semasa tidak lagi sesuai dengan pemerintahan satu parti, sebaliknya semangat kerjasama dan pembentukan gabungan perlu menjadi norma baharu.

“Semangat GRS seperti GPS di Sarawak, yang menyatukan parti-parti tempatan untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan demi kemajuan negeri. Hanya dengan kesatuan seperti ini Sabah dapat melangkah lebih jauh,” katanya.

Mengenai kemungkinan beliau mempertahankan kerusi Karamunting, George berkata keputusan itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

“Politik sentiasa berubah. Saya akan akur dengan keputusan parti. Yang penting, kita kekalkan kestabilan kerajaan dan hubungan baik Sabah dengan Persekutuan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles