Seruan Keadilan: Jangan Ketepikan “Suara” Dan Hak Mengundi Rakyat Sabah di Semenanjung &Sarawak

Oleh Angie S Chin, Project Lead (Vote Wisely) / SVP for CAMOS (Sabah)

KOTA KINABALU: Menjelang pilihan raya negeri Sabah yang semakin hampir, Vote Wisely Project merayu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengiktiraf serta memudahkan cabaran yang dihadapi oleh rakyat Sabah yang bekerja atau menuntut jauh dari kampung halaman mereka di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Pada 16 Oktober 2025, SPR telah mengumumkan bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah akan diadakan pada 29 November 2025, dengan hari penamaan calon pada 15 November dan pengundian awal pada 25 November.

Ini menandakan permulaan sebuah perjalanan penting — bukan hanya untuk mereka yang berada di Sabah, tetapi juga untuk ratusan ribuan rakyat Sabah yang kini tinggal, bekerja dan belajar di seberang Laut China Selatan, namun tetap mempunyai ikatan mendalam dengan tanah air mereka.

Mengapa Kami Bersuara?

Vote Wisely baru-baru ini melancarkan satu petisyen kepada SPR untuk menggesa penubuhan kategori pengundi baharu bagi rakyat Sabah yang menetap di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Ketika ini, SPR mengiktiraf tiga kategori undi pos atau undi awal:

Kategori 1A – Pegawai SPR, Petugas Pilihan Raya, Petugas Media, Polis, dan Angkatan Tentera

Kategori 1B – Warganegara Malaysia yang menetap di luar negara (pengundi pos luar negara)

Kategori 1C – Ahli dan kakitangan agensi atau organisasi yang diluluskan kerajaan

Walaupun kategori ini meliputi ramai pengundi, ia masih mengecualikan kumpulan besar rakyat Sabah yang kini menetap sementara atau tetap di Semenanjung Malaysia dan Sarawak — mereka yang ingin mengundi, tetapi berdepan halangan sebenar untuk pulang atau mendapatkan alternatif.

Perjuangan Tersembunyi Rakyat Sabah di Perantauan

Satu hantaran baru-baru ini di saluran TikTok Vote Wisely, @Vote.Sabah, telah meraih lebih 70,000 tontonan dalam masa kurang 24 jam selepas AirAsia mengumumkan tambang sehala RM299 bagi rakyat Sabah yang pulang untuk mengundi.

Namun, bukannya kegembiraan yang muncul — sebaliknya rasa kecewa dan kekecewaan yang meluas.

Bagi ramai orang, tambang RM299 itu hanyalah untuk perjalanan sehala — dan tiket pulang biasanya berganda atau lebih mahal selepas ditambah cukai dan caj lain.

Bagi rakyat Sabah dari golongan pekerja, ini adalah kos yang mustahil untuk ditanggung.

Ramai bekerja dalam sektor seperti peruncitan, perkilangan, hospitaliti dan sektor kesihatan, di mana sukar untuk mendapatkan cuti, terutamanya ketika musim pilihan raya. 

Keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih kecil dan remaja atau pengundi kali pertama juga berdepan dengan kos lebih tinggi — perjalanan pergi dan balik untuk mengundi boleh mencecah ribuan ringgit. Mereka lebih rela simpan duit untuk balik menyambut perayaan dimana mereka boleh bercuti selama beberapa hari. 

Namun, rakyat Sabah di Semenanjung dan Sarawak, mereka bukan tidak peduli. Mereka mahu mengundi. Mereka mahu suara mereka didengar. Tetapi bagi ramai, kos dan logistiknya terlalu berat untuk ditanggung.

Apa yang Kami Tuntut?

Petisyen kami kepada SPR dan kerajaan menyeru agar nilai belas kasihan, keadilan dan inklusif diamalkan melalui langkah-langkah berikut:

Wujudkan kategori pengundi keempat — Kategori 1D: Rakyat Sabah yang menetap, bekerja, atau belajar di Semenanjung Malaysia dan Sarawak — bagi mengiktiraf kumpulan ini secara rasmi.

Kurangkan kos perjalanan — pertimbangkan kerjasama antara kerajaan dan syarikat penerbangan untuk memberi subsidi atau diskaun tambang pergi balik, bukan promosi sehala sahaja.

Perluaskan kemudahan undi pos dan undi awal untuk kumpulan ini, terutamanya bagi mereka yang tidak dapat pulang kerana kerja atau tanggungjawab keluarga.

Teroka kaedah pengundian jarak jauh atau digital (seperti yang diamalkan di beberapa negara lain) atau benarkan undi awal di pejabat SPR dan institusi terpilih di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Kami faham bahawa kelulusan Perdana Menteri masih diperlukan sebelum SPR dapat melaksanakan susunan khas untuk Sabah. Namun, ruang untuk perubahan bermakna masih terbuka — dan kami menyeru para pemimpin untuk bertindak sebelum ia tertutup.

Mengapa Ia Penting?

SPR telah melanjutkan tarikh permohonan undi pos bagi Kategori 1B dan 1C sehingga 27 Oktober 2025, tetapi masih belum membuat keputusan mengenai cadangan kategori baharu untuk rakyat Sabah di Semenanjung dan Sarawak.

Masih ada masa — dan masih ada harapan — untuk memastikan tiada rakyat Sabah yang dinafikan hak perlembagaan mereka untuk mengundi hanya kerana halangan kewangan atau logistik.

Jika kita gagal bertindak, ribuan rakyat Sabah mungkin akan terdiam bukan kerana pilihan, tetapi kerana keadaan.

Rayuan Akhir

Kepada SPR, Perdana Menteri, dan Kerajaan Persekutuan — ini bukan sekadar isu pentadbiran. Ini adalah soal keadilan, keterikatan, dan perpaduan nasional.

Berikan peluang kepada rakyat Sabah di perantauan untuk turut serta. Akuilah pengorbanan mereka, ringankan beban mereka, dan hormatilah keinginan mereka untuk membentuk masa depan negeri yang mereka masih panggil rumah.

Kerana setiap undi itu penting dan setiap undi dari rakyat Sabah itu amat bermakna. Demokrasi paling kukuh Adalah apabila tiada siapa yang tertinggal.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles