SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Hj Nasir mengambil inisiatif menganjurkan Program Bantuan Pengagihan Air Mineral kepada penduduk PPR Batu Putih, pada Sabtu.
Ini sebagai langkah segera membantu penduduk yang terkesan dan prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi penduduk PPR Batu Putih yang telah terjejas bekalan air selama enam hari.
Suhaimi berkata program ini dilaksanakan melalui Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.184 Libaran dengan kerjasama Pergerakan 3 Sayap UMNO Bahagian Libaran yang terdiri daripada Wanita, Pemuda dan Puteri, bagi memastikan proses pengagihan air mineral ke setiap blok di kawasan berkenaan dapat dijalankan dengan lancar, tersusun dan menyeluruh.
Menurut Suhaimi, program ini dilaksanakan sebagai salah satu usaha segera bagi meringankan beban penduduk sementara menunggu langkah penyelesaian jangka panjang daripada pihak berkuasa berkaitan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan dan jentera parti Barisan Nasional (BN) yang sentiasa menunjukkan semangat kesukarelawanan dan komitmen tinggi dalam membantu rakyat tanpa mengira masa dan keadaan.
“Isu bekalan air ini bukan perkara kecil kerana ia melibatkan keperluan asas harian rakyat. Tanggungjawab kita ialah memastikan setiap keluarga di kawasan terjejas mendapat bantuan sewajarnya sementara menunggu langkah penyelesaian dilaksanakan,” katanya.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus memantau situasi di kawasan berkenaan dan memastikan kebajikan rakyat Libaran sentiasa menjadi keutamaan.
Program bantuan tersebut melibatkan pengagihan 900 karton air mineral ke setiap blok kediaman di PPR Batu Putih, dengan penyertaan aktif jentera 3 Sayap UMNO Bahagian Libaran.
