Inisiatif Ketua Bahagian PGRS Karamunting Atasi Masalah Parit Tersumbat di Bandar Ramai-Ramai

SANDAKAN: Masalah parit tersumbat yang sekian lama menghantui penduduk Blok R, Lot 10, Bandar Ramai-Ramai akhirnya berjaya diselesaikan hasil inisiatif Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin.

George berkata, masalah itu telah berlarutan sejak sekian lama dan sering menjadi punca kepada pelbagai isu lain termasuk banjir kilat, pembiakan nyamuk aedes serta pencemaran di kawasan perumahan dan premis perniagaan berhampiran.

“Parit ini bersambung terus ke pesisir laut. Apabila paras air laut meningkat, air tidak dapat mengalir keluar sepenuhnya kerana saluran yang sempit dan cetek. Setiap kali air pasang atau hujan lebat, air akan melimpah ke jalan raya dan menjejaskan aktiviti penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selepas menerima aduan dan cadangan daripada beberapa penduduk, beliau mengambil inisiatif menggunakan dana peribadi bagi menjalankan kerja-kerja melebar dan memperdalamkan parit tersebut sebagai langkah percubaan.

“Cadangan ini asalnya daripada beberapa penduduk, jadi saya ambil pendekatan untuk cuba dahulu menggunakan dana sendiri. Syukur, hasilnya positif dan ternyata langkah ini berjaya menyelesaikan masalah yang telah berlarutan sekian lama. Kini kita telah temui formula terbaik untuk menangani isu seperti ini,” katanya.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan turut dijalankan bagi mengeluarkan longgokan sampah termasuk botol plastik dan sisa pepejal yang menghalang aliran air. Penduduk turut memainkan peranan dengan membantu membersihkan kawasan sekitar dan memastikan parit kekal bersih.

“Saya sangat menghargai semangat kerjasama penduduk di sini. Apabila masyarakat dan pasukan tempatan berganding bahu, hasilnya dapat dilihat dengan cepat. Kadang-kadang penyelesaian tidak perlu menunggu projek besar — cukup dengan tindakan kecil tetapi tepat, kita boleh membawa perubahan besar,” katanya.

George menambah bahawa pasukannya, Task Force Team ADUN Karamunting, akan terus memantau keadaan di kawasan itu dan mengenal pasti lokasi lain yang berpotensi menghadapi masalah sama, terutamanya di kawasan berhampiran pantai.

“Keutamaan kami ialah memastikan keselamatan, kebersihan dan keselesaan penduduk sentiasa terjamin,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles