KOTA KINABALU: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan bahawa rakyat Sabah mesti diutamakan dalam usaha mempertahankan hak dan menentukan masa depan negeri ini.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kinabalu yang menegaskan hak 40 peratus hasil negeri sebagai hak perlembagaan, bukan ihsan politik, membuktikan bahawa tuntutan tersebut mempunyai asas undang-undang yang kukuh.
Menurut beliau, Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan menjamin 40 peratus daripada hasil bersih yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan daripada Sabah, dan perkara itu bukan sumbangan atau rundingan baharu, tetapi kewajipan perlembagaan yang menjadi asas kepada keadilan dalam Persekutuan Malaysia.
“Janji yang termeterai pada tahun 1963 mesti diterjemah kepada tindakan. Kerjasama dan saling menghormati antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung merupakan asas kepada kekuatan negara,” katanya dalam hantaran terbaharudi Facebook.
Salleh yang juga ADUN Usukan turut menegaskan bahawa Sabah perlu memperkukuh keupayaan sendiri dalam aspek kewangan, pentadbiran dan perancangan ekonomi supaya setiap hak yang diperjuangkan membawa manfaat nyata kepada rakyat negeri ini.
Dalam masa sama, beliau menyeru agar rakyat Sabah bersatu dalam menegakkan hak negeri tanpa bersifat konfrontasi.
“Menegakkan hak bukan soal konfrontasi, tetapi soal maruah dan keadilan. Melalui kesatuan dan kematangan, kita dapat menempatkan Sabah di tempat yang sewajarnya dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
