Kelab Wikimedia Malaysia Anjur Wikimedia Boot Camp di Kuala Lumpur dengan kerjasama Kelab Wikikent IPG Kent

TUARAN, – Kelab Wikimedia Malaysia dengan kerjasama Kelab Wikikent IPG Kent telah menganjurkan Wikimedia Boot Camp bertempat di Kuala Lumpur. 

Program ini disertai oleh enam orang pelajar PISMP Bahasa Kadazandusun Ambilan Ogos 2024 yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Kelab Wikimedia IPG Kent bagi sesi 2025/2026, diiringi oleh Dr. Rosie Johnny selaku pensyarah pengiring.

Program itu, antara lain, bertujuan mendedahkan pelajar tentang penggunaan platform Wikimedia sebagai medium penulisan digital bagi memperluas capaian ilmu dan mendokumentasikan budaya tempatan. 

Selain itu, ia turut menjadi platform perbincangan antara pensyarah dan pelajar berhubung takwim baharu kelab yang dirancang untuk memperkukuh pelaksanaan aktiviti penulisan serta program Wikimedia pada masa hadapan.

Sepanjang program, para peserta berpeluang mengikuti Bengkel Mengedit Laman Wiki yang memberikan latihan praktikal dalam proses penyuntingan, pemformatan teks, serta tatacara memuat naik maklumat dalam talian secara sahih dan teratur. 

Bengkel itu dikendalikan oleh wakil daripada Wikimedia User Group Malaysia, iaitu Encik Farouk Azim (Penyelaras Projek Wikimedia Malaysia), Encik Zahirul Nukman (Penyelaras Projek Wikimedia Malaysia) dan Encik Nazhan (Pengerusi Wikimedia Malaysia).

Selain itu, peserta turut menghadiri Bengkel Wikibuku yang dikendalikan oleh Encik Rafly Noir Khairam, wakil daripada Komunitas Wikimedia Bandung (Indonesia). 

Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi tentang cara memasukkan resipi makanan tradisional Indonesia ke dalam Wikibuku serta mencadangkan agar makanan tradisional Kadazandusun turut didokumentasikan di platform tersebut agar lebih dikenali oleh masyarakat antarabangsa. 

Menurut beliau, langkah itu merupakan usaha penting dalam mendigitalkan dan mendokumentasikan warisan budaya Kadazandusun, di mana resipi boleh ditulis berdasarkan pengalaman kendiri atau resipi turun-temurun keluarga.

Menurut Encik Rafly, bengkel ini diharapkan dapat membuka peluang kepada pelajar IPG Kent untuk menjadi penyumbang aktif dalam komuniti Wikimedia serantau sambil mengangkat bahasa dan budaya Kadazandusun ke peringkat global.

Sementara itu, Encik John Gitom, Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun, menyatakan bahawa program seumpama itu bukan sahaja memperkaya kemahiran digital pelajar, malah mendorong mereka untuk menggunakan teknologi sebagai alat pelestarian bahasa dan budaya. Beliau turut berharap agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh penglibatan warga IPG Kent dalam ekosistem ilmu digital dunia.

Di akhir program, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Kelab Wikimedia IPG Kent turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah IPG Kampus Kent atas sokongan dan kebenaran penyertaan mereka dalam program ini. Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada Jabatan Bahasa Kadazandusun atas bimbingan berterusan, serta kepada Wikimedia Malaysia dan Wikimedia Indonesia atas peluang dan ilmu yang diberikan sepanjang pelaksanaan program.

Secara keseluruhannya, Wikimedia Boot Camp dan Bengkel Wikibuku telah memberikan pengalaman yang amat berharga kepada para peserta, di samping memperkukuh hubungan antara pensyarah, pelajar dan komuniti luar dalam menjayakan misi pemerkasaan ilmu dan bahasa Kadazandusun di era digital.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles