KOTA KINABALU: Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) menegaskan prinsip tanggungjawab kolektif Kabinet perlu difahami dalam konteks sebenar sistem demokrasi berparlimen yang berteraskan semangat Westminster yang diamalkan di Malaysia.
Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W. Angang, berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Hassan Karim, berhubung prinsip tanggungjawab kolektif Kabinet dan isu hak 40 peratus hasil bersih Sabah.
Nelson berkata, kenyataan berkenaan amat mengejutkan kerana ia datang daripada seorang pemimpin yang berpengalaman.
Katanya, Malaysia mengamalkan sistem Westminster, di mana seorang menteri yang tidak bersetuju dengan keputusan kabinet atas dasar prinsip seharusnya, sebagai satu kelaziman, meletakkan jawatan.
“Setiap anggota kabinet terikat dengan doktrin tanggungjawab kolektif. Namun, sekiranya seorang menteri tidak dapat menyokong keputusan kerajaan atas sebab prinsip, tindakan meletakkan jawatan bukanlah satu bentuk ugutan atau cubaan untuk mengikat kerajaan, tetapi mencerminkan kejujuran terhadap prinsip dan integriti diri.
“Inilah asas kepada sistem demokrasi berparlimen. Dalam sistem Westminster seperti di United Kingdom, ramai menteri telah meletakkan jawatan atas dasar prinsip apabila tidak dapat menyokong keputusan kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Nelson menegaskan, Presiden UPKO yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, kekal teguh berpegang kepada perjuangan melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan menuntut hak 40 peratus hasil bersih Sabah sebagaimana termaktub dalam perjanjian berkenaan.
“Komitmen Datuk Ewon terhadap MA63 telah lama diketahui umum dan termaktub dalam perlembagaan parti sebagai teras perjuangan UPKO.
“Sama ada dipersetujui atau tidak, prinsip demokrasi menuntut, sekiranya seorang menteri tidak dapat menyokong keputusan kerajaan atas dasar prinsip, tindakan yang terhormat ialah meletakkan jawatan.
“Walaupun proses kehakiman membenarkan sesuatu keputusan dirayu, tidak semua keputusan mahkamah wajar dirayu,” katanya.
Nelson berkata, setiap keputusan perlu dinilai berdasarkan merit undang-undang, keadilan serta kekuatan hujah yang dikemukakan.
“Dalam banyak kes, pihak yang kalah memilih untuk tidak merayu apabila keputusan dianggap adil dan mempunyai asas undang-undang yang kukuh,” katanya.
Sehubungan itu, Nelson yang juga Ahli Dewan Negara menasihati Hassan Karim agar memahami sepenuhnya konteks sebenar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perjuangan rakyat Sabah serta Sarawak untuk melihat pelaksanaannya secara menyeluruh.
“Adalah lebih baik beliau mendapatkan pandangan terus daripada rakyat Sabah mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf hak 40 peratus hasil bersih negeri itu dan menegaskan kerajaan Persekutuan gagal menunaikan tanggungjawab ini sejak tahun 1973.
“Setiap pemimpin politik perlu memahami sesuatu isu secara mendalam sebelum mengeluarkan kenyataan, apatah lagi melibatkan isu perlembagaan dan hak negeri yang termaktub dalam sejarah pembentukan Malaysia.
“Keputusan mahkamah ini memberi peluang besar untuk kita bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara yang menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan hak yang dijamin kepada rakyat Sabah,” tegasnya.
