DUN Pantai Dalit bakal jadi medan pertarungan ‘campin’ generasi lama dan baharu

Oleh Lesaya L Sorudim

KOTA KINABALU: Pantai Dalit, salah satu kerusi DUN baharu yang diwujudkan di Sabah pada tahun 2019 dan pertama kali dipertandingkan pada tahun 2020, dijangka menjadi medan pertarungan sepak terajang politik yang menarik dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.

Kerusi yang majoritinya Bajau-Muslim ini kini disandang oleh Datuk Jasnih Hj. Daya, yang menang atas tiket BN–Umno tetapi kini berpihak kepada GRS–PGRS. 

Penyandang jawatan Jasnih memiliki sedikit kelebihan dari segi keterlihatan dan rangkaian, namun hubungannya dengan blok pemerintah mungkin juga mendedahkannya kepada sentimen anti-kerajaan dalam kalangan pengundi muda.

Khabar angin sedang bertiup kencang bahawa BN–Umno, yang bersemangat untuk mendapatkan semula kedudukan yang hilang, mungkin menurunkan ketua bahagian Tuaran mereka, Datuk Abdul Rahman Dahlan, seorang ahli politik berpengalaman dan bekas menteri persekutuan dalam kabinet Najib Razak.

Kepulangan Rahman boleh memberi suntikan semangat kepada penyokong akar umbi Umno, tetapi sama ada beliau boleh menarik perhatian pengundi muda, pengundi kali pertama masih kabur-kabur. Terdapat juga khabar angin mengatakan Alfian Sambas juga tersenarai sebagai antara nama calon yang sedang diperhalusi.

Calon lain yang dijangka turun gelanggang mencuba nasib, termasuk Francis Fahir dari STAR, bekas orang kuat bahagian berita RTM Sabah yang dikenali ramai; Jaesman Gipin dari PKDM, mewakili generasi baharu pemimpin akar umbi; dan kemungkinan Chrisnadia Sinam dari Warisan, bekas pemimpin PKR Tuaran yang dikenali dengan agenda reformis dan daya tarikannya kepada golongan muda.

Apa yang menjadikan aliran sokongan pengundi Pantai Dalit sukar diramal ialah komposisi pengundinya.

Kira-kira 40% pengundi berusia antara 18 dan 25 tahun, demografi yang tidak memberi respons kepada taktik lama retorik perkauman, poster bercetak, atau risalah.

Pendapat mereka lebih terpengaruh dengan  naratif media sosial, perdebatan dalam talian, dan integriti calon.

Pengundi ini berkemungkinan besar berorientasikan isu — lebih mengambil berat tentang pewujudan peluang pekerjaan, pendidikan, dan tadbir urus berbanding kesetiaan parti.

Dalam konteks ini, pilihan raya 2025 di Pantai Dalit mungkin bukan sekadar pertembungan antara jentera tradisional BN–Umno dan penyandang GRS–PGRS, tetapi juga pertandingan generasi antara susunan politik lama dan pengundi yang celik teknologi, berfikiran bebas.

Keputusan itu boleh menjadi petunjuk bagi seluruh Sabah: tanda sama ada kuasa di negeri itu masih ditentukan oleh logo parti — atau oleh nadi generasi digital yang mentakrifkan semula masa depan politik Sabah.

Kata orang-orang tua Pantai Dalit “Manang Nya Mangan Asal Jo Kitie Dikau Atai” – Aramati

Related Articles

253FansLike

Latest Articles