Kenyataan Media Anggota Parlimen Tuaran Datuk Seri Madius Tangau
KOTA KINABALU: Saya mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Mahkamah atas keputusan bersejarah yang berpihak kepada Sabah Law Society (SLS) dalam tuntutan berhubung hak 40% hasil bersih yang sepatutnya dikembalikan kepada Sabah.
Keputusan ini adalah satu kemenangan besar bukan sahaja bagi SLS, tetapi juga untuk seluruh rakyat Sabah yang telah sekian lama menantikan keadilan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Saya berharap agar Kerajaan Persekutuan tidak merayu semula keputusan ini, sebaliknya menghormati keputusan mahkamah dan segera melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan.
Menurut keputusan Mahkamah Tinggi, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu mengadakan rundingan dalam tempoh 90 hari bagi menentukan jumlah sebenar hasil bersih 40% yang wajar dikembalikan kepada Sabah. Seterusnya, Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakan bayaran atau pelunasan amaun yang dipersetujui dalam tempoh 180 hari selepas rundingan tersebut selesai.
Sebagai Ahli Parlimen Tuaran, saya konsisten sejak sekian lama memperjuangkan perkara ini dalam setiap Persidangan Parlimen Dewan Rakyat. Malah, dalam perbahasan Belanjawan 2026 pada Selasa lalu, selain membangkitkan bahawa bajet negara tidak mencerminkan kedudukan Sabah sebagai rakan setara (“equal partner”), saya sekali memperingatkan dan mengulangi pendirian agar hak 40% Sabah ini perlu segera ditunaikan.
Syukur kepada Tuhan, hari ini Mahkamah telah membuat ketetapan yang berpihak kepada Sabah. Saya menyeru agar semua pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan SLS bekerjasama dengan penuh keikhlasan dan melaksanakan perintah mahkamah bagi memastikan Hak Sabah dalam Perlembagaan ini dapat dilaksanakan dengan segera, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Sabah yang kita cintai.
