Warisan siap sedia bertarung di gelanggang PRN17 – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, hari ini berkata bahawa parti tersebut telah lama bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang melalui usaha berterusan menemui dan berinteraksi dengan rakyat di seluruh Sabah.

 “Kita tidak menunggu Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Hampir empat tahun saya telah melawat ke semua 73 daerah dari Sipitang hingga Kudat, dari Kinabatangan ke Keningau, Nabawan, Sook dan banyak lagi tempat lain.

 “Persiapan mesti bermula lebih awal, bukan selepas tarikh pilihan raya diumumkan,” kata Shafie ketika bercakap kepada wartawan dalam satu sesi bertemu rakyat di Pulau Banggi hari ini. 

Beliau mengulas pengumuman tarikh hari mengundi yang ditetapkan pada 29 November oleh Suruhanjaya Pilihan Raya tengahari tadi.

Mohd Shafie menjelaskan bahawa aktiviti Warisan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini bukanlah kempen politik, tetapi sebahagian daripada usaha berterusan untuk bertemu rakyat, memahami masalah mereka dan membina rangkaian komuniti yang lebih kukuh.

 “Fokus kami sentiasa kepada kesiapsiagaan, bukan panik atau reaksi. Apabila tiba masanya, calon-calon kami akan bersedia. Saya tidak mengumumkan nama-nama calon lagi kerana selepas lebih 30 tahun dalam politik, saya tahu ada yang cuba membeli calon, pencadang dan penyokong sebelum hari penamaan. 

“Sebab itulah fokus kami kini ialah memperkukuh kesiapsiagaan supaya kita kekal kuat apabila tiba waktunya.”

Shafie berkata kekuatan Warisan bukan sahaja terletak pada calon-calon, tetapi juga pada kepercayaan rakyat terhadap parti itu sendiri.

“Apa yang paling penting ialah parti. Jika rakyat percaya parti ini mampu membawa masa depan yang lebih baik untuk Sabah, itulah yang mereka akan pilih. Bukan Kuala Lumpur yang menentukan siapa menjadi Ketua Menteri. Penentunya adalah pengundi Sabah yang mesti keluar beramai-ramai untuk menentukan masa depan kita sendiri dan mempertahankan maruah Sabah.”

Beliau turut menegaskan tentang perpecahan dalam gabungan kerajaan yang memerintah sekarang.

“Lihat GRS hari ini — ada yang bertanding sebagai calon bebas, ada guna logo lain, ada yang masih keliru logo mana hendak dipakai. Jika mereka sendiri tidak percaya pada logo mereka, bagaimana rakyat mahu percaya kepada mereka?

“Warisan ialah parti tempatan yang berpengalaman di Semenanjung dan di Sabah, dan kami tahu bagaimana untuk mentadbir serta mempertahankan hak-hak Sabah,” katanya.

Shafie turut mengingatkan bahawa kehendak rakyat tidak boleh diseleweng melalui muslihat politik atau manipulasi undang-undang.

“Kita mesti berhati-hati apabila bercakap tentang majoriti dan mandat. Undang-undang tidak boleh diputar untuk menafikan suara rakyat. Jika Warisan mendapat majoriti, itu adalah suara rakyat dan tiada siapa boleh menafikannya,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles