TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau melahirkan rasa kesal terhadap penetapan tarikh proses pilihan raya yang dilihat membelakangkan semangat Prinsip Rukun Negara serta bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan pembentukan insan yang beriman, berakhlak mulia, dan menghormati kepercayaan agama masing-masing.
Beliau menegaskan bahawa penetapan tarikh-tarikh pilihan raya kebelakangan ini termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 yang dijadualkan pada 29 November 2025 (Sabtu) tidak mengambil kira sensitiviti serta keperluan penganut agama tertentu, khususnya mereka yang berpegang teguh kepada amalan hari ibadah masing-masing.
“Hari Sabtu merupakan hari beribadah bagi penganut Seventh-Day Adventist (SDA) dan True Jesus Church. Bagi masyarakat SDA, mereka tidak dibenarkan melakukan sebarang urusan pekerjaan atau aktiviti duniawi kecuali hal-hal berkaitan kerohanian dan kebajikan, bermula dari matahari terbenam pada hari Jumaat hingga matahari terbenam pada hari Sabtu,” jelas beliau.
Menurut rekod astronomi, pada 29 November 2025, matahari akan terbenam pada pukul 5.59 petang. Ini bermakna penganut SDA hanya boleh menunaikan tanggungjawab mengundi selepas waktu tersebut.
Oleh itu, Datuk Seri Madius mencadangkan agar masa pengundian dilanjutkan sehingga jam 7.00 malam, bagi memberi ruang kepada mereka untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara tanpa mengabaikan tuntutan kerohanian mereka.
“Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari Sabtu sebagai hari mengundi seolah-olah tidak menghormati prinsip pertama dan kelima Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan dan Kesopanan serta Kesusilaan.
“Dalam hal ini, seharusnya kerajaan dan SPR lebih peka terhadap kepelbagaian agama serta budaya yang menjadi asas keharmonian negara kita,” tegas beliau.
Tambahnya lagi, penetapan tarikh yang mengabaikan nilai keagamaan ini bukan sahaja bertentangan dengan semangat Rukun Negara, malah mencanggahi objektif Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menggariskan pembentukan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).
Datuk Seri Madius turut menggesa SPR supaya meneliti semula garis panduan penetapan tarikh pilihan raya agar lebih menghormati kepelbagaian kepercayaan rakyat Malaysia. Beliau berharap perkara ini tidak berulang pada masa hadapan demi menjunjung semangat Perlembagaan dan memperkukuh perpaduan nasional.
“Demokrasi yang adil mesti memberi ruang sama rata kepada setiap rakyat tanpa mengira agama atau kepercayaan untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.”
