Oleh Daniel John Jambun
President
Borneo’s Plight in Malaysia Foundation (BoPiMaFo)
KOTA KINABALU: Borneo’s People Manifesto Forum (BoPiMaFo) menyatakan sokongan padu dan tanpa ragu terhadap kenyataan berani YB Datuk Willie Mongin di Parlimen baru-baru ini yang menggesa agar kesahihan penubuhan Malaysia dirujuk ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan seterusnya dilaksanakan referendum rakyat Sabah dan Sarawak.
Ini bukan soal parti politik atau individu — ini soal hak, maruah dan kedaulatan rakyat Borneo!
1. Ini Soal Hak Rakyat, Bukan Politik Kepartian
BoPiMaFo menyeru seluruh rakyat Sabah dan Sarawak untuk bangkit dan bersatu menuntut keadilan.
Cukuplah kita disamun, dirampas dan diperbodohkan oleh pemimpin tamak yang menggadaikan hak negeri kepada kepentingan politik sempit.
“Berpolitiklah semasa PRU, PRN dan PRK, tetapi menjaga amanah rakyat dan mempertahankan hak negeri adalah tanggungjawab setiap pemimpin sejati.”
2. Kenyataan Willie Mongin: Suara Keberanian dan Kebenaran
Ucapan Datuk Willie Mongin adalah suara keberanian seorang anak Borneo yang mewakili jeritan rakyat Sabah dan Sarawak yang sudah lama menanggung ketidakadilan hasil pelanggaran Malaysia Agreement 1963 (MA63).
Cadangan beliau untuk membawa isu ini ke ICJ dan PBB adalah langkah berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa, bukan emosi atau politik kebencian.
MA63 adalah perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh empat pihak berdaulat — UK, Malaya, Sabah (North Borneo) dan Sarawak.
Jika perjanjian itu dilanggar, maka kesahihan Malaysia sebagai persekutuan wajar disemak semula oleh badan antarabangsa yang sah.
3. Referendum: Mengembalikan Suara Rakyat Borneo
BoPiMaFo menyokong penuh cadangan referendum yang akan memberi semula kuasa kepada rakyat Sabah dan Sarawak untuk menentukan sama ada mereka masih rela kekal dalam Malaysia berdasarkan realiti hari ini.
Sejak 1963, rakyat Borneo tidak pernah ditanya semula — sama ada mereka masih bersetuju dengan keadaan yang semakin pincang dari semangat asal MA63.
Referendum bukan hasutan pemisahan, tetapi penentuan semula mandat rakyat yang berdaulat.
4. Hentikan Penindasan Ekonomi dan Pelanggaran Hak Negeri
Selepas lebih 60 tahun Malaysia ditubuhkan, Sabah dan Sarawak masih jauh ketinggalan — dari segi infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi.
PDA 1974, pengambilalihan kuasa hasil bumi, dan pelaksanaan dasar pusat yang menafikan kuasa negeri adalah bukti nyata pengkhianatan terhadap semangat MA63 dan Laporan IGC 1962.
BoPiMaFo menegaskan bahawa hak terhadap minyak, gas, tanah, hasil laut dan sumber asli Borneo mesti dikembalikan sepenuhnya kepada kerajaan negeri dan rakyat.
5. Tuntutan BoPiMaFo
Bagi menjunjung semangat perjuangan ini, BoPiMaFo menuntut bahawa:
1. Kerajaan Sabah dan Sarawak menyokong secara rasmi cadangan YB Datuk Willie Mongin dan membentuk Pasukan Undang-Undang Bersama Borneo ke ICJ dan PBB.
2. Referendum rakyat Sabah dan Sarawak dilaksanakan untuk menentukan kedudukan sebenar negeri-negeri Borneo dalam persekutuan.
3. Hak-hak negeri di bawah MA63 dipulihkan sepenuhnya, termasuk kuasa hasil bumi, pendidikan, dan pentadbiran tempatan.
4. Pimpinan politik Sabah dan Sarawak berhenti tunduk kepada tekanan pusat, dan kembali kepada prinsip asal penubuhan Malaysia yang berasaskan kesamarataan dan persetujuan bersama.
6. Seruan Akhir: Bangkit dan Bersatu!
BoPiMaFo menyeru seluruh rakyat Borneo — tanpa mengira parti, kaum atau agama — untuk bangkit mempertahankan hak dan maruah kita.
“Kita bukan menentang Malaysia, kita menuntut Malaysia ditegakkan atas dasar yang sah, adil dan dihormati.”
Biar dunia tahu bahawa Sabah dan Sarawak tidak lagi mahu menjadi wilayah yang terus ditindas, tetapi rakan setara dalam persekutuan yang sebenar — berdaulat, bermaruah dan berhak menentukan masa depannya sendiri.
