Oleh Datuk Nizam Abu Bakar Titingan
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)
KOTA KINABALU: Saya menolak sekeras-kerasnya kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, yang mendakwa kononnya Datuk Seri Hajiji Noor telah menyalahgunakan kuasa dalam isu Sabah Forest Industries (SFI). Tuduhan tersebut bukan sahaja berniat jahat, malah memperlihatkan kejahilan undang-undang dan percubaan terdesak untuk menabur fitnah menjelang Pilihan Raya Negeri.
Untuk makluman umum, saman sivil bernilai RM1.4 bilion yang disebut oleh Suhaimi adalah prosiding sivil yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan bukan sabitan jenayah.
Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh, telah menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah “bukan sahaja remeh dan menyusahkan, malah tidak berasas” kerana melibatkan litigasi yang sedang berlangsung antara pihak-pihak berkenaan. Kerajaan Negeri akan mengemukakan pembelaan menyeluruh dan yakin kebenaran akan terbukti apabila proses undang-undang selesai.
Hakikat yang cuba disembunyikan oleh Suhaimi dan sekutunya ialah bahawa kemelut sebenar SFI berpunca daripada pentadbiran Warisan pada tahun 2018. Kegagalan dan kerugian SFI berpunca daripada pentadbiran kerajaan sebelum ini dan bukan kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
GRS menegaskan bahawa SFI ialah syarikat swasta yang mana kerajaan negeri hanya memegang dua peratus saham. Semua urusan pembayaran gaji dan operasi syarikat tertakluk di bawah undang-undang buruh dan tanggungjawab majikan, bukannya kerajaan negeri.
GRS melihat kenyataan Suhaimi sebagai percubaan murahan untuk menakut-nakutkan rakyat dan mengalih perhatian daripada kegagalan UMNO dalam menjaga kepentingan rakyat Sabah selama ini. Politik fitnah tidak akan membina Sabah. Datuk Seri Hajiji Noor dan pentadbiran GRS kekal berpegang kepada prinsip ketelusan, integriti dan tanggungjawab rakyat. Kami percaya rakyat Sabah cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negeri ini dan siapa yang sekadar menabur dusta demi kepentingan politik peribadi.
