Lawan sudah tiada modal, asyik kaitkan kami dengan parti lain – SU Agung KDM

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), hari ini, sekali lagi menyatakan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Ini selepas parti itu terus menerus dikaitkan dengan Warisan oleh sesetengah pihak, iaitu sebuah lagi parti tempatan yang telah mengumumkan akan bergerak solo pada PRN17 nanti.

Setiausaha Agungnya, Willie Jude Junaidi berkata, adalah tidak logik KDM dikaitkan dengan Warisan kerana kedua-dua parti itu akan bertembung di banyak kawasan.

Katanya, khabar angin yang mengaitkan KDM dengan Warisan sebenarnya sudah lama berlaku dan ianya semakin ‘kencang’ selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan pilihan raya semakin hampir.

“Mungkin mereka (parti lawan) sudah tiada modal, hanya asyik guna ‘cybertrooper’ untuk kaitkan kami dengan parti lain, kononnya undi kami (KDM) dapat mereka (Warisan).

“Tapi tidak hairanlah, mereka kemungkinan juga sudah rasa tercabar dengan kekuatan yang ada pada KDM ketika ini, sudah semestinya mereka akan mencari segala isu yang boleh untuk melemahkan kami.

“Saya tidak nafikan, isu yang dimainkan memberi sedikit kesan kepada kami, ramai pemimpin-pemimpin di bahagian yang turut bertanyakan kepada saya berkenaan dengan isu ini, sebab itu hari ini saya ingin nafikan sekeras-kerasnya, kami fokus untuk hadapi PRN17 dan kami akan bertarung secara solo,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Willie berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan parti KDM bekerjasama dengan Warisan secara senyap-senyap walaupun kedua-dua parti itu sudah mengumumkan akan bertanding solo pada PRN17 nanti.

Sementara itu, Willie berkata, senarai calon KDM yang akan bertanding pada pilihan raya nanti kita sudah di peringkat akhir.

Katanya, pengumuman akan dibuat tidak lama lagi selepas perbincangan peringkat akhir dilakukan Pimpinan Tertinggi KDM dalam masa terdekat.

“Akan diumumkan nanti (senarai calon) dan dijangka sekali dengan pelancaran manifesto parti, tunggu saja,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles