SANDAKAN: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, terus menunjukkan keprihatinannya terhadap keperluan masyarakat apabila beliau turun padang ke Pasar Tanah Merah Karamunting bagi meninjau keadaan peniaga dan kemudahan awam di kawasan itu.
Dalam lawatan tersebut, George meluangkan masa beramah mesra dengan para peniaga, selain mendengar pandangan dan cadangan mereka untuk menambah baik suasana pasar sementara berkenaan.
Antara inisiatif segera yang dilaksanakan ialah penyediaan tandas awam sementara bagi kemudahan peniaga dan pengunjung, selepas menerima aduan berhubung kesukaran menggunakan kemudahan sedia ada.
“Saya amat menghargai para peniaga yang sudi berkongsi pandangan dan memberi maklum balas secara terbuka. Semua aduan akan diteliti dan tindakan akan diambil demi keselesaan rakyat serta kemajuan DUN Karamunting,” katanya.
Rata-rata peniaga menyatakan penghargaan terhadap keprihatinan George yang disifatkan sebagai pemimpin yang sentiasa menunaikan janji dan turun padang memantau keadaan di lapangan.
Pasar Tanah Merah Karamunting kini menjadi tumpuan masyarakat setempat yang datang membeli hasil laut, sayur-sayuran dan barangan keperluan harian, dengan suasana semakin selesa hasil penambahbaikan kemudahan awam yang dilakukan.
