TUARAN: Naib presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Gundohing Henry Saimpon merupakan pilihan terbaik untuk memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan sekiranya parti itu diberi mandat dalam pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan tidak lama lagi.
Timbalan Presiden KDM Datuk Wetrom Bahanda berkata berdasarkan pengalaman Henry sebagai bekas pemain bolasepak kebangsaan dan negeri Sabah serta pengalaman mengurus pasukan skuad Badak Sabah, tidak syak lagi beliau memiliki kualiti yang diperlukan untuk merancakkan lagi pembangunan sukan dan belia di negeri ini.
“Sebab itu, kita pilih Henry sebagai calon KDM di DUN Kiulu bukan sahaja untuk memajukan sukan dan belia tetapi juga melakukan perubahan lanskap pembangunan di Kiulu.
“Inshallah, jika kita menang dalam PRN, kita beri peranan Henry sebagai Menteri Belia dan Sukan,” katanya secara berseloroh.
Wetrom berkata demikian ketika melancarkan Liga Bolasepak Tertutup Kiulu di Padang Pukak, dekat sini hari ini.
Turut hadir ialah naib presiden Dr Oswald Aisat, Dr Gaim James Lunkapis dan setiausaha agung KDM Gundohing Willie Jude.
Wetrom berkata pengundi muda mempunyai pengaruh kuat dalam mencorakkan politik dan menentukan masa depan negeri ini.
Beliau berkata sehubungan itu golongan muda harus membuat keputusan bijak dalam PRN bagi menentukan masa depan negeri ini dan golongan belia Sabah yang cerah.