Oleh Datuk Lahirul Latigu, PengerusiParti Amanah Negara (AMANAH) Sabah
KOTA KINABALU: Sabah menyambut baik dan menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan Belanjawan MADANI 2026, yang jelas menzahirkan komitmen untuk meletakkan Sabah sebagai penerima manfaat utama dalam keseluruhan strategi pembangunan negara.Belanjawan kali ini bukan sekadar lembaran angka dan unjuran fiskal, tetapi sebuah manifestasi keadilan wilayah, satu pelan menyeluruh untuk membangunkan Sabah dan Sarawak secara seimbang dengan Semenanjung. Ia juga mencerminkan iltizam Kerajaan Perpaduan dalam menzahirkan roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sekian lama diperjuangkan rakyat negeri ini.Bagi tahun 2026, Sabah menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM6.9 bilion, meningkat ketara berbanding RM4.4 bilion pada tahun 2022. Ini merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah negeri Sabah, menandakan penghargaan nyata terhadap keperluan pembangunan negeri yang luas dan berpotensi besar.Kerajaan Perpaduan memperlihatkan tumpuan serius terhadap isu asas yang sekian lama membelenggu rakyat Sabah dengan menyalurkan RM1.2 bilion bagi menjamin kestabilan bekalan elektrik selepas penyerahan kawal selia tenaga kepada negeri ini pada Januari 2024, diikuti RM765 juta untuk Projek Southern Link bagi memastikan bekalan tenaga yang stabil khususnya di kawasan pantai timur yang sering terputus bekalan akibat bencana seperti tanah runtuh di Penampang.Pada masa yang sama, RM1 bilion diperuntukkan untuk projek air Sabah melibatkan pemasangan paip baharu di Tawau serta penggantian paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, manakala projek Pan Borneo Sabah menerima RM1.67 bilion bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual bersama kesinambungan projek Sarawak–Sabah Link Road (SSLR) dan Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) yang keseluruhannya bernilai RM48 bilion, menjadikan Borneo tumpuan utama pembangunan infrastruktur nasional.Selain projek mega persekutuan, Sabah turut menerima manfaat menerusi pelaksanaan projek fizikal berimpak tinggi seperti pembinaan jalan Kalabakan–Simanggaris di sempadan Malaysia–Indonesia dan Projek Lembangan Sungai Moyog bagi mitigasi banjir di Kota Kinabalu, yang mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan seimbang antara pedalaman dan bandar.Sabah turut menikmati manfaat besar menerusi Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion yang melibatkan laluan sepanjang 3,190 kilometer dari Johor ke Kuching, Sibu, Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau, sekali gus menghubungkan negeri ini kepada jaringan digital negara bagi memperluas akses internet berkelajuan tinggi, mengukuh komunikasi luar bandar serta mempercepat pembangunan ekonomi digital dan pendidikan dalam talian.Langkah memperkukuh semangat MA63 dizahirkan melalui peningkatan Pemberian Khas Sabah dan Sarawak kepada RM600 juta berbanding RM300 juta sebelum ini, sekali gus membuktikan keikhlasan Kerajaan Perpaduan melaksanakan semangat MA63 secara nyata dan mengiktiraf Sabah bukan lagi sebagai penerima bantuan semata-mata, tetapi sebagai rakan pelaksana pembangunan nasional.Kerajaan turut memperluas Perkhidmatan Komuniti Bergerak Sabah dan Sarawak ke 19 kawasan baharu termasuk Kampung Karamuak di Sabah, disokong oleh perkhidmatan bank bergerak BSN bagi memudahkan urusan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan memastikan perkhidmatan kerajaan serta akses kewangan rakyat pedalaman terus sampai tanpa terputus.Program Sejati MADANI diteruskan bagi memberi peluang komuniti kampung di seluruh Sabah melaksanakan projek ekonomi sehingga RM100,000 setiap kampung, disusuli peruntukan RM20 juta untuk menaik taraf Tamu Desa dan ruang niaga kecil serta peluasan Program Solar MADANI yang telah memasang ribuan lampu di pedalaman, bagi meningkatkan taraf hidup, keselamatan dan kemudahan asas rakyat luar bandar.Dalam aspek pendidikan dan kemahiran, Kolej Vokasional baharu akan dibina di Sabah selaras dengan peruntukan RM7.9 bilion TVET nasional, di samping pembiayaan RM650 juta melalui PTPK yang memanfaatkan lebih 25,000 pelatih termasuk di Sabah serta pelaksanaan program IPT@Komuniti oleh Majlis TVET Negara bagi memperkenalkan asas AI dan teknologi digital kepada pelajar tahfiz dan pondok agar generasi muda negeri ini mampu bersaing dalam ekonomi berasaskan kemahiran dan inovasi.Sabah turut berpeluang besar dalam agenda ekonomi baharu dan hijau melalui peluasan insentif Elaun Cukai Pelaburan Aset Hijau (MyHIJAU Mark) kepada syarikat tempatan serta akses kepada geran digital dan pembiayaan mikro bernilai lebih RM2.5 bilion melalui BSN, TEKUN dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, yang membuka ruang lebih luas kepada koperasi, usahawan desa dan wanita Sabah untuk memperkasa ekonomi sendiri.AMANAH Sabah berpandangan bahawa Belanjawan MADANI 2026 adalah belanjawan keadilan wilayah yang sebenar. Ia tidak hanya menyalurkan peruntukan besar, tetapi membina asas kukuh bagi kemajuan Sabah secara menyeluruh, dari bandar ke desa, dari sektor awam hingga ke akar komuniti rakyat.Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Sabah bukan lagi penerima dasar, tetapi pelaksana pembangunan negara.Belanjawan ini membuktikan bahawa keadilan dan pembaharuan bukan slogan, tetapi tindakan nyata yang membawa manfaat terus kepada rakyat.“Sabah tidak mahu belas kasihan, Sabah mahu keadilan.Dan keadilan itu kini sedang dilaksanakan di bawah Belanjawan MADANI 2026.”