KOTA KINABALU: Ketua Exco Wiramuda STAR Sabah, Jordan Jude Ellron bakal dipertaruhkan sebagai calon STAR di DUN Tulid pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Pengumuman itu dibuat oleh Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan pada satu majlis semalam.
“Saya akan usahakan dan berkerja Keras untuk menyumbangkan 1 Kerusi untuk STAR Sabah,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Jordan berkata beliau akan membentangkan manifesto PRN untuk kawasan DUN Tulid dalam tempoh terdekat.
“Visi, misi dan tujuan untuk pembangunan kawasan akan mengikut keadaan Semasa. Iaitu, Pentadbiran Laju, Cekap dan On Time.
“Tidak lupa juga, Generasi seperti Saya akan meneruskan Perjuangan Hak-Hak Sabah yang masih banyak belum Ditunaikan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Tulid untuk memberi sokongan padu kepada STAR dalam PRN.
Jordan, 28, dijangka bertarung dengan bekas Adun STAR Datuk Flovia Ng yang mungkin mempertahankan kerusi itu atas tiket GRS dan Naib Presiden KDM Dr Oswald Aisat bagi merebut kerusi DUN Tulid.
